yusmizal@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keluarga Aya Sofya Moehamad Izzat Emir, 4, atau Aya selesai menjelaskan bil rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Dongguan Maternity And Children Hospital berjumlah 39,155.07RMB (kira-kira RM23,201 hari ini.
Sebahagiannya adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia yang simpati dengan nasib kanak-kanak itu yang menderita kanser saraf (neuroblastoma).
Ibunya, Nurul Nadiah Zakaria, berkata bayaran berkenaan membolehkan Aya dipindahkan semula ke Dongguan Taixin Hospital, pusat perubatan yang akan memantau tahap kesihatannya sepanjang proses rawatan di China.
“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat. Terima kasih kepada penyumbang yang membantu meringankan beban.
“Buat masa ini, Aya masih kritikal walaupun ada pergerakan dan respons. Sekarang ini, Aya berada dalam pemantauan hospital Taixin dan doktor akan memaklumkan dalam masa terdekat sekiranya Aya masih mampu untuk meneruskan rawatan kimoterapi. Jika tidak, Aya akan diletakkan dalam jagaan paliatif, ” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan, keluarganya memohon sumbangan dan doa rakyat Malaysia untuk membolehkan Aya keluar wad dalam masa terdekat.
Ia selepas keadaan kesihatannya kembali kritikal akibat pendarahan otak sehingga dipindahkan ke PICU Dongguan Maternity And Children Hospital minggu lalu.
Ibunya itu merayu sumbangan orang ramai selepas pihak hospital memaklumkan mereka perlu membuat bayaran menerusi akaun persendirian manakala kos di Dongguan Taixin Hospital diuruskan sepenuhnya Persatuan Kanser Kanak-Kanak Malaysia (CCAM).
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Hong Leong Bank (21400086276) Persatuan Kanser Kanak-Kanak atau klik pautan https://ccaminternational.com/donate/.
© New Straits Times Press (M) Bhd




