Rasuah jualan 5 pangsapuri PVATM, pesara tentera ditahan SPRM

Rasuah jualan 5 pangsapuri PVATM, pesara tentera ditahan SPRM

am@hmetro.com.my

Georgetown: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan seorang pesara tentera bagi membantu siasatan menerima rasuah RM405,000 membabitkan penjualan lima unit pangsapuri Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di negeri ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi, hari ini ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri, di sini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek meminta dan menerima wang rasuah itu daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan jualan lima pangsapuri yang juga aset PVATM dengan harga lebih rendah dari harga pasaran.

“Kejadian berlaku pada 2015 dan suspek ketika itu memegang jawatan Ketua Penerangan PVATM.

“Suspek juga dipercayai menerima wang berjumlah RM405,000 itu menerusi 12 transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh Rabu ini di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top