Heung-min atasi Ronaldo sebagai pemain terbaik Asia 2025

Heung-min atasi Ronaldo sebagai pemain terbaik Asia 2025

Riyadh: Son Heung-min dari Korea Selatan dinamakan Pemain Bola Sepak Terbaik Asia bagi tahun 2025, menjadikannya gelaran ke-10 yang luar biasa dalam kerjayanya.

Pemain berusia 33 tahun itu mengatasi rakan senegara, Lee Kang-in dari Paris Saint-Germain yang berada di tempat kedua, manakala bintang Portugal dari Al-Nassr, Cristiano Ronaldo di tempat ketiga.

Anugerah itu diperkenalkan pada 2013 dan terbuka kepada pemain dari Asia serta mereka yang bermain di benua tersebut. Edisi terbaru terbabit melibatkan panel 64 pakar bola sepak Asia, yang menilai prestasi pemain dari 16 Ogos tahun lalu hingga 16 Julai tahun ini.

Heung-min menamatkan kariernya bersama Tottenham Hotspur pada Mei dengan memenangi trofi pertamanya sepanjang sedekad bersama kelab itu, Liga Europa sebelum melengkapkan perpindahan ke kelab Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat, Los Angeles FC.

Heung-min menerima 14.26 peratus undian daripada juri. Dalam musim terakhirnya bersama Spurs, dia menjaringkan 10 gol dalam 46 penampilan.

Dia juga memainkan peranan penting dalam membantu Korea Selatan layak ke Piala Dunia buat kali ke-11 berturut-turut yang akan berlangsung di Amerika Utara tahun hadapan.

Pemenang pertama anugerah itu ialah Keisuke Honda dari Jepun pada 2013, yang dilancarkan oleh Titan Media Group dari tanah besar China.

Selepas itu, Heung-min memenangi sembilan daripada sepuluh anugerah seterusnya. Seorang lagi pemain Jepun, Shinji Okazaki, menang pada 2016 selepas membantu Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Akram Afif, penyerang Qatar yang menamatkan dominasi tujuh tahun berturut-turut Heung-min tahun lalu selepas memimpin negaranya menjuarai Piala Asia AFC di tempat sendiri, hanya berada di tempat kelapan kali ini.

Lee Kang-in, 24 tahun, yang lama dianggap sebagai pengganti Heung-min sebagai bintang masa depan bola sepak Korea Selatan, menerima 10.25 peratus undian.

Dia beraksi 11 kali dalam kempen kemenangan Liga Juara-Juara bersama PSG musim lalu dan menjaringkan enam gol dalam 30 perlawanan Ligue 1, membantu kelab Perancis itu meraih kejuaraan domestik keempat berturut-turut.

Cristiano Ronaldo, yang kini berusia 40 tahun, mendapat 8.89 peratus undian selepas menjadi penjaring terbanyak Liga Pro Saudi musim lalu dengan 25 gol.

Dia juga kembali sebagai pemain utama untuk Portugal dan menjaringkan gol ketika negaranya menewaskan juara Eropah, Sepanyol, menerusi penentuan penalti untuk memenangi Liga Negara-Negara pada Jun.

Tiga pemain yang berpangkalan di Arab Saudi – Riyad Mahrez, Karim Benzema, dan Salem Al-Dawsari masing-masing menduduki tempat keempat, kelima dan keenam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top