PSG perlu salahkan diri sendiri

PSG perlu salahkan diri sendiri

PARIS: Lille semakin hampir meraih gelaran Ligue 1 dalam tempoh sedekad namun Kylian Mbappe mengatakan Paris Saint-Germain hanya perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal mempertahankan mahkota berkenaan.

PSG memenangi gelaran Perancis tujuh daripada lapan musim dan dijangka akan sekali lagi melakukannya tahun ini kerana sumber kewangan besar kelab milik Qatar itu.

Walaupun memiliki dua daripada pemain bola sepak termahal dalam sejarah iaitu Mbappe dan Neymar, skuad kendalian Mauricio Pochettino kini di kedudukan kedua, tiga mata di belakang Lille berbaki dua perlawanan.

Keputusan seri 1-1 PSG di Rennes hujung minggu lalu diikuti kemenangan 3-0 buat Lille di Lens, menyebabkan kelab dari utara itu memerlukan hanya empat mata daripada dua perlawanan terakhir bagi dimahkotakan selaku juara pertama kali sejak 2011.

“Jika kami tidak menang liga, ia kerana kami gagal memenanginya berbanding mereka yang menang,” kata Mbappe kepada Eurosport selepas PSG menewaskan Montpellier pada pertengahan minggu untuk mara ke final Piala Perancis.

Selepas komen itu dihentam, Mbappe menerusi media sosial menerangkan apa yang dimaksudkannya.

“Lille akan menjadi juara hebat jika mereka menang, tetapi dengan lapan kekalahan, jika kami kalah gelaran, kami bertanggungjawab sepenuhnya,” kata Mbappe.

Lille, yang mengumpul empat mata daripada keseluruhan enam berdepan Paris musim ini, juga boleh menang liga berbaki satu perlawanan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top