Tokyo: Tiada negara pernah menjuarai Piala Dunia dengan jurulatih kelahiran luar negara, tetapi Carlo Ancelotti berkata ‘sentiasa ada kali pertama’ ketika beliau mengintai kejayaan bersama Brazil.
Jurulatih dari Itali itu menjadi jurulatih asing pertama Brazil dalam tempoh enam dekad apabila beliau mengambil alih pasukan pada Mei, dan membantu juara lima kali itu melayakkan diri ke Piala Dunia musim panas tahun depan.
Brazil akan menentang Jepun dalam perlawanan persahabatan di Tokyo esok selepas membelasah Korea Selatan 5-0 di Seoul minggu lalu.
Ancelotti berkata beliau berhasrat untuk mencipta sejarah buat dirinya dan pasukan di Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
“Matlamat saya untuk memberikan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan Brazil, cuba memastikan mereka beraksi pada tahap terbaik dan memenangi Piala Dunia,” katanya.
“Memang betul tiada jurulatih kelahiran luar pernah memenangi Piala Dunia, tetapi dalam hidup ini sentiasa ada kali pertama.”
Brazil menghadapi laluan sukar untuk layak, hanya menduduki tempat kelima dalam kelayakan Amerika Selatan.
Ancelotti jurulatih keempat mereka sejak Tite berundur selepas kekalahan suku akhir menentang Croatia di Piala Dunia 2022 di Qatar.
Brazil mempamerkan aksi bertenaga menentang Korea Selatan, dengan bintang muda berusia 18 tahun, Estevao menjaringkan dua gol, manakala dua pemain Real Madrid, Rodrygo dan Vinicius Jr., turut mencatatkan nama sebagai penjaring.
Peminat Brazil menganggap kemenangan itu sebagai kebangkitan semula gaya permainan “jogo bonito”, tetapi Ancelotti berkata pasukannya memiliki lebih daripada sekadar permainan cantik.
“Pemain Brazil memang ada kualiti untuk bermain bola sepak cantik, tetapi kita perlu fikir apa maksud sebenarnya bola sepak cantik,” katanya.
“Pemain Brazil ada kelebihan individu, tapi itu perlu digabungkan dengan kerjasama berpasukan dan pergerakan tanpa bola, dan itu sangat penting dalam bola sepak.”
Brazil ke Asia tanpa penyerang utama mereka, Neymar, 33, yang tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya sehingga November akibat kecederaan paha.
Masa semakin suntuk untuk penjaring gol terbanyak Brazil itu membuktikan kemampuannya sebelum Piala Dunia.
Ancelotti bagaimanapun tidak meragui kualiti Neymar: “Jika Neymar cergas sepenuhnya, sudah tentu dia boleh menyertai pasukan kebangsaan,” katanya.
“Jika dia cergas, dia boleh bermain dalam mana-mana pasukan di dunia.”
Sejak Ancelotti mengambil alih, Brazil mencatatkan empat aksi tanpa bolos dalam lima perlawanan, berbeza dengan prestasi pertahanan yang lemah sebelum ini.
“Dia orang Itali, jadi dia memang pentingkan pertahanan yang kukuh,” kata Bruno Guimaraes, pemain tengah Newcastle.
“Terutamanya di Piala Dunia, pasukan yang tak bolos gol akan menang kejuaraan, jadi sangat penting untuk kami bertahan dengan baik.”
Jepun pasukan pertama yang layak ke Piala Dunia tahun depan selepas melayari kelayakan Asia dengan mudah.
Mereka belum pernah menewaskan Brazil dalam 13 percubaan, dan kini tanpa beberapa pemain utama yang cedera termasuk pemain sayap Brighton, Kaoru Mitoma, dan pemain tengah Liverpool, Wataru Endo.
Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu, berkata kemenangan ke atas Brazil akan memberikan keyakinan kepada pasukannya untuk mencipta impak di Amerika Utara.
“Kami mahu menang, berkembang sebagai pasukan dan memberikan segalanya untuk cabaran ini,” katanya.
“Brazil salah satu pasukan terbaik di dunia dan kami menghormati mereka, tetapi kami juga ada pemain yang bermain di Eropah dan mengutip pengalaman di sana.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




