am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: “Akhir bulan lalu kami pergi bercuti ke Pulau Pangkor dan meraikan ulang tahun perkahwinan yang ketujuh. Suami kelihatan terlalu gembira dengan percutian itu.
“Namun, segala-galanya berubah dalam sekelip mata apabila dia dijemput Ilahi. Sudah pasti kenangan itu tidak akan saya dan anak lupakan untuk selamanya,” kata Norshazehan Shaid.
Norshazehan adalah isteri kepada kakitangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) yang meninggal dunia di hadapan sebuah stesen minyak di Batu 30, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Batang Kali, semalam.
Mohd Saiful Izzuwan Roslan, 39, yang bertugas sebagai Pembantu Penguatkuasa MPHS tidak sedarkan diri ketika sedang menjalankan aktiviti berbasikal secara bersendirian.
Norshazehan, 35, berkata, dia menerima panggilan pada jam 10.56 pagi daripada adik iparnya yang memaklumkan Mohd Saiful Izzuwan pengsan.
“Biasanya suami mengayuh ke Tanjung Malim. Tetapi pada hari kejadian dia ke Kuala Kubu Bharu dan maklumat itu saya peroleh menerusi aplikasi WhatsApp kumpulan basikalnya.
“Ketika dalam perjalanan ke lokasi, saya diberitahu suami sudah tiada dan apabila tiba, jasadnya sudah ditutup,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Selindung Daun, Ulu Yam Bharu, di sini hari ini.
Menurutnya, sebulan sebelum Mohd Saiful Izzuwan meninggal dunia, dia menyedari suaminya sering mengadu sakit di bahagian belakang badan dan pinggang selain kerap mengah ketika makan.
“Arwah tidak mempunyai sejarah penyakit cuma hanya ada kolesterol, gout dan darah tinggi yang on off sahaja.
“Dua malam lepas, arwah sempat bermain badminton bersama rakan-rakannya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Gurney.
“Saya sering berpesan kepadanya supaya kurangkan bersukan lagi-lagi pada waktu malam,” katanya.
Norshazehan berkata, dia dan anak lelaki tunggal, Muhammad Sufyan Ziqri, 5, reda dengan pemergian Mohd Saiful Izzuwan.
“Mujur ada individu jumpa suami ketika kejadian. Jika tidak, saya tak boleh bayangkan saat-saat akhir arwah yang hanya seorang diri.
“Walaupun sudah tiada, peribadi arwah yang ceria dan bertanggungjawab kepada kami akan sentiasa diingati hingga akhir hayat,” katanya.
Terdahulu, jenazah Mohd Saiful Izzuwan disempurnakan di Masjid Al Falah Ulu Yam Bharu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kaloi jam 9.40 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pemeriksaan ke atas badan mangsa didapati tiada kesan kecederaan luaran, pergelutan dan lain lain.
Beliau berkata, punca kematian adalah disebabkan serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
© New Straits Times Press (M) Bhd




