Renard anggap aksi lawan Iraq paling penting dalam karier

Renard anggap aksi lawan Iraq paling penting dalam karier

Jeddah: Jurulatih Arab Saudi Herve Renard mengakui pertembungan menentang Iraq di Stadium Jeddah esok bakal menjadi detik paling penting dalam kariernya sebagai pengendali bola sepak.

Renard yang dua kali menjulang Piala Negara Negara Afrika kini berada di ambang untuk membawa skuad kendaliannya ke Piala Dunia buat kali ketujuh. Arab Saudi hanya memerlukan keputusan seri bagi mengesahkan slot automatik ke pusingan akhir.

“Apa yang kami lakukan sebelum ini tidak bermakna apa apa jika gagal mencapai matlamat esok. Tiada siapa akan ingat kemenangan ke atas Indonesia atau Bahrain sekiranya kami tidak layak.

Bagi saya, inilah perlawanan paling penting dalam karier saya,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Jurulatih dari Perancis itu berkata dia hanya akan mendedahkan mengapa perlawanan itu begitu istimewa selepas tamat aksi menentang Iraq.

Renard kini dalam tempoh kedua membimbing Arab Saudi selepas kembali menggantikan Roberto Mancini yang gagal menghidupkan prestasi pasukan dalam pusingan kelayakan sebelum ini.

Skuad kendalian Renard kini mendahului Kumpulan B pusingan keempat kelayakan Asia berdasarkan kelebihan jaringan selepas masing masing mencatat kemenangan ke atas Indonesia.

Arab Saudi memiliki kelebihan tipis hasil kemenangan 3 2 ke atas pasukan kendalian Patrick Kluivert manakala Iraq menewaskan lawan sama 1 0.

Hanya juara kumpulan akan mara automatik ke Piala Dunia bersama enam wakil Asia lain iaitu Jepun Korea Selatan Iran Australia Uzbekistan dan Jordan.

Dalam satu lagi aksi penting Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menentang Qatar di Doha bagi menentukan slot automatik dari Kumpulan A manakala naib juara kumpulan bakal beraksi dalam perlawanan play off antara zon pada November nanti.

Renard berkata pengalaman pemain senior bakal menjadi senjata utama dalam usaha mengekalkan momentum pasukan.

“Saya bernasib baik kerana memiliki pemain berpengalaman seperti Saleh Al Shehri kapten kami Salem Al Dawsari dan Hassan Al Tambakthi yang kini semakin matang. Saya selalu ingatkan mereka supaya kekal fokus.

“Bukan mudah mengekalkan tumpuan dengan pemain Arab Saudi tetapi yang penting apabila mereka mendengar kami boleh bersedia dengan baik. Kami tenang fokus kepada matlamat dan tidak mahu fikir perkara lain,” katanya.

Sementara itu jurulatih Iraq Graham Arnold mengesahkan penyerang utama Aymen Hussein akan kembali diturunkan selepas terlepas aksi menentang Indonesia akibat kecederaan.

Arnold mengakui Arab Saudi memiliki kelebihan kerana hanya memerlukan seri namun menegaskan pasukannya tidak gentar.

“Mereka ada dua cara untuk layak, seri atau menang. Kami hanya ada satu, menang. Jadi fokus kami sepenuhnya adalah untuk menyerang dan menang,” katanya penuh tekad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top