essabuyamin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak RM15.87 juta hasil lelongan bot nelayan asing yang dirampas dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sudah disalurkan kepada perbendaharaan negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap bot nelayan asing tidak berada di bawah bidang kuasa Jabatan Laut Malaysia (JLM) kerana agensi itu hanya melaksanakan peruntukan di bawah Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
“Penguatkuasaan ke atas bot nelayan asing dilaksanakan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pula memainkan peranan dalam urusan berkaitan bot nelayan asing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN–Kuala Kedah) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme digunakan oleh JLM untuk memastikan bot nelayan asing yang dirampas tidak dilarikan kembali, serta nilai hasil lelongan bot rampasan yang sudah disalurkan kepada perbendaharaan negara dalam tempoh lima tahun.
Mengulas lanjut, Loke berkata, berdasarkan input daripada KDN, PPM antara agensi utama yang mengawal perairan negara daripada pencerobohan dan aktiviti jenayah rentas sempadan.
“PPM yang juga cabang Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab dalam memastikan perairan negara khususnya yang bersempadanan dengan negara jiran berada dalam keadaan yang selamat dan aman dari sebarang pencerobohan mahupun aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Pada masa ini, PPM menjalankan tugasan secara 24/7 melalui operasi rutin, berkala dan terancang melalui Op Taring
Gelora dalam membanteras dan mengekang anasir-anasir luar di perairan wilayah Malaysia termasuk membanteras
pencerobohan nelayan-nelayan asing ke dalam perairan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




