sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain badminton negara Eng Ler Qi, Oo Shan Zi dan pemain pelatih Carine Tee mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Guwahati, India, hari ini.
Pengarah kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen, menaikkan Ler Qi, Shan Zi dan Lim Zhi Shin ke skuad senior enam bulan lalu bagi mempercepatkan perkembangan mereka.
Carine kini turut berlatih bersama skuad senior.
Ler Qi memulakan kempen dengan cemerlang apabila menewaskan pemain England, Aahna Bhatia 15-1, 15-5 dan akan berdepan pemain Kanada, Fulgencia Simmons Zhang pada pusingan kedua esok.
Shan Zi turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menundukkan pemain Romania, Denisa Maria Muscalu 15-11, 15-7, sekali gus melayakkannya bertemu pemain Emiriah Arab Bersatu, Misha Omer Khan.
Carine juga mengikut jejak mereka selepas menewaskan pemain Slovakia, Ella Eliaskova 15-8, 15-9, dan akan menentang Anja Blazina dari Slovenia selepas ini.
Sementara itu, Zhi Shin yang menerima bye pada pusingan pertama, akan memulakan saingan menentang pemain Turkiye, Aleyna Korkut esok.
Penolong jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, Misbun Ramdan, berkata latihan bersama pemain senior seperti K Letshana dan Wong Ling Ching telah membantu mempercepatkan kemajuan pemain muda berkenaan.
“Ler Qi, Shan Zi dan Zhi Shin telah berlatih bersama skuad senior selama lebih kurang enam bulan, dan mereka menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi corak permainan dan intensiti,” katanya.
“Saya juga turut menjadi rakan sparing mereka dan mereka telah memulakan kempen di Kejohanan Remaja Dunia dengan baik. Walaupun pada awalnya agak gementar dengan sistem kiraan 15×3, mereka berjaya menyesuaikan diri dengan baik. Kami berharap keempat-empat mereka dapat mara ke pusingan kedua esok.”
Dalam acara perseorangan lelaki, Kong Wei Xiang dan Ayu Fu Sheng turut mara.
Wei Xiang menewaskan pemain Kanada, Asher Bedi 15-12, 15-9, manakala Fu Sheng menumpaskan pemain Taiwan, Huang Jyun Kai 15-11, 14-16, 15-12.
Bagaimanapun, pemain China, Li Zhi Hang terlalu kuat buat Roslie Razeeq apabila menang 15-9, 15-10.
Terdapat juga kejutan apabila Lim Boon Le tewas 15-4, 8-15, 15-17 kepada pemain Sri Lanka, Thidasa Weragoda.
“Razeeq telah berusaha sebaik mungkin, tetapi pemain China itu memang kuat,” kata Ramdan.
“Kekalahan Boon Le menunjukkan bahawa apa sahaja boleh berlaku dalam sistem 15 mata. Saya berharap pemain-pemain kita dapat mengambil peluang ini untuk mara lebih jauh.”
Melihat ke hadapan, Wei Xiang bakal berdepan cabaran sengit menentang pilihan keempat dari Jepun, Hyuga Takano, manakala Fu Sheng dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan pemain Portugal, Hugo Campos, pada pusingan kedua esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




