Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin, tidak mampu menyembunyikan rasa bahagia bergelar suami kepada penyanyi jelita, Amira Othman, yang disifatkannya sebagai wanita penuh kelembutan, penyayang dan sentiasa mendahulukan suami dalam segala hal.
Menurut Fattah, atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, keperibadian Amira yang sentiasa menghormati dan memahami dirinya menjadikan rumah tangga mereka tenang dan harmoni.
“Dia (Amira) selalu utamakan suami dia. Dalam apa pun dia buat, dia akan tanya pendapat saya dulu, minta izin dan ambil tahu apa yang saya suka. Itu buat saya rasa dia istimewa. Bagi saya, dia isteri syurga,” katanya
Fattah berkata demikian menerusi sepotong video yang dimuat naik oleh pereka fesyen terkenal tanah air, Fiziwoo di TikTok, baru-baru ini.
@fiziwoofficial Setiap pertemuan ada kisahnya, setiap pandangan pertama ada maknanya. Bagi Fattah & Amira, keindahan FIZIWOO bukan sekadar rekaan ia tentang rasa, tentang tradisi yang dihidupkan semula dengan penuh kasih. #fiziwoo #fiziwooartisanal #fiziwoobridal #setulustakdirfattahamira #fattahamin
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025 dalam sebuah majlis eksklusif di Golden Palm Tree Resort, Sepang.
Sebelum bersama Amira, Fattah pernah berkahwin dengan aktres Nur Fazura pada 27 November 2017, namun rumah tangga mereka berakhir dengan perpisahan pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan terdahulu itu, Fattah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia lima tahun.




