bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia tidak mengambil pendirian menyokong pelan damai Gaza sepenuhnya secara serta-merta menyebabkan negara tidak menyertai Persidangan Antarabangsa Keamanan yang berlangsung di Sharm el-Sheikh di Mesir, semalam.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, ia kerana Malaysia menilai pelan damai itu, turut perlu mengandungi prinsip dan aspek yang sering ditekankan selama ini berhubung kepentingan bagi rakyat Palestin.
Katanya, ia meliputi jaminan perlindungan untuk rakyat Palestin, bantuan kemanusiaan segera kepada rakyat Palestin, penamatan penjajahan Israel di Palestin serta penubuhan negara Palestin merdeka.
“Aspek ini sangat penting untuk keamanan berpanjangan di rantau Asia Barat. Malaysia akan terus memperjuangkan aspek-aspek ini,” kata kenyataan itu.
Berdasarkan maklumat Wisma Putra, sebanyak 24 negara dijemput ke persidangan berkenaan.
“Pihak penganjur bersama iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Mesir, menjemput negara berkenaan berdasarkan sokongan tidak berbelah bahagi atau sokongan penuh mereka kepada pelan damai sebaik saja ia diumumkan pada 29 September lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, Malaysia menyambut baik pelan damai itu dan juga perjanjian gencatan senjata fasa pertama antara Hamas dan Israel pada 9 Oktober lalu.
Namun begitu, katanya Malaysia mengambil pendirian sangat berhati-hati dan menganggap perjanjian itu langkah peringkat awal ke arah menamatkan pembunuhan puluhan ribu rakyat Palestin, kebuluran dan kemusnahan disebabkan perang Israel terhadap Gaza.
“Kita sedia maklum Israel dan Hamas, dua pihak yang terkesan secara langsung dalam proses damai ini, tidak menghadiri Persidangan Antarabangsa itu,” katanya.
Semalam, Presiden AS Donald Trump tiba di Sharm el-Sheikh di Mesir, di mana beliau menyertai beberapa pemimpin dunia di Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh serta menandatangani perjanjian pelan damai Gaza.
Sidang kemuncak antarabangsa itu menghimpunkan lebih 20 pemimpin dunia, termasuk Trump dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi selaku tuan rumah, dalam usaha merangka pelan damai bersepadu selepas dua tahun konflik di Gaza.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata dimeterai minggu lalu turut merangkumi pembebasan tebusan serta tahanan Palestin yang menjadi antara agenda utama sidang kemuncak itu.
Sidang kemuncak itu dijangka menjadi titik tolak penting dalam usaha diplomatik global untuk mengakhiri keganasan dan membina semula keamanan di rantau berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




