Madrid: Penaja ikonik MotoGP, Repsol yang sebelum ini menaja pasukan pengeluar Honda, dijangka kembali ke paddock pada tahun depan dengan peranan baharu.
Gergasi minyak dari Sepanyol itu mula menjadi penaja utama pasukan pengeluar Honda dalam MotoGP pada tahun 1995, dan terbukti menjadi salah satu kerjasama paling berjaya serta paling lama bertahan dalam dunia sukan.
Pasukan Repsol Honda memenangi empat gelaran dunia bersama Mick Doohan antara 1995 hingga 1998, sebelum menambah satu lagi kejuaraan menerusi Alex Criville pada 1999.
Pada 2002, Valentino Rossi muncul sebagai juara dunia ketiga hasil kerjasama berkenaan ketika bermulanya era moden MotoGP, dan pelumba Itali itu sekali lagi mendominasi musim 2003.
Nicky Hayden memenangi gelaran dunia 2006 untuk Repsol Honda, diikuti Casey Stoner pada 2011, sebelum Marc Marquez menjulang enam kejuaraan antara 2013 hingga 2019 di bawah jenama terbabit.
Kerjasama bersejarah itu berakhir pada penghujung musim 2024, dengan kehadiran jenama Repsol pada jentera Honda ketika itu juga semakin minimum.
Kini, Castrol menjadi penaja utama pasukan pengeluar Honda dalam kelas perdana MotoGP.
Namun menurut laporan motorsport.com dari Sepanyol, Repsol dijangka kembali ke pentas MotoGP pada tahun 2026.
Kali ini, Repsol tidak akan menyambung kerjasama sebagai penaja utama Honda, sebaliknya bakal mengambil alih peranan sebagai pembekal minyak pelincir rasmi bagi kelas Moto2 dan Moto3.
Peranan itu ketika ini disandang oleh Liqui Moly, yang pada asalnya bersetuju untuk meneruskan kerjasama bersama Dorna Sports sejak 2022 hingga akhir musim 2027.
Bagaimanapun, laporan motorsport.com mendakwa perjanjian itu akan ditamatkan lebih awal, sekali gus membuka ruang untuk Repsol mengembalikan jenamanya ke arena perlumbaan Grand Prix motosikal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




