Terkejut lihat semua pekerja warga asing

Terkejut lihat semua pekerja warga  asing

am@hmetro.com.my

Puchong: “Saya hanya pekerja saja, bukan pemilik,” kata seorang lelaki warga Pakistan di sebuah kedai menjual peralatan elektrik terpakai di Kampung Batu 12 Puchong di sini.

Premis berkenaan antara lot perniagaan yang dipercayai diuruskan oleh warga asing di kampung itu.

Tinjauan Harian Metro di lokasi berkenaan mendapati sekurang-kurangnya 20 kedai runcit, bengkel, kedai barangan elektrik termasuk terpakai, perabot dan permaidani dipercayai diusahakan warga asing di sekitar kawasan berkenaan.

Warga asing dilihat menguasai sektor perniagaan di kawasan itu dengan barangan elektrik dimonopoli oleh warga Pakistan, manakala kedai runcit (Bangladesh), bengkel motosikal (Rohingya) serta makanan (Indonesia dan Pakistan).

Persekitaran di kawasan itu juga kelihatan kotor dengan barangan dibiarkan berselerakan di luar premis, malah ada kedai menjual bahan mentah meletakkan daging di atas lantai serta penutup tong ikan tanpa alas.

Seorang penduduk yang mahu dikenali Ali, 30-an berkata, dia pernah membeli peti ais terpakai di sebuah kedai diusahakan warga Pakistan.

Katanya, dia membeli barang elektrik itu pada harga RM400 iaitu lebih murah berbanding kedai barangan elektrik terpakai lain yang menjualnya pada harga sekitar RM600 hingga RM650.

“Pada mulanya saya tidak tahu itu kedai Pakistan dan terkejut melihat semua pekerja warga Pakistan. Tapi bila saya tanya siapa pemilik, ‘tauke’ orang tempatan dan hanya bekerja di situ.

“Peti ais dibeli kemudiannya dihantar ke rumah oleh pekerja lain dan saya tanya lagi siapa pemilik, dia akhirnya akui perniagaan itu dimiliki rakan senegaranya,” katanya.

Bercerita lanjut, Ali berkata, peti ais yang dibeli itu rosak selepas dua minggu digunakan.

Katanya, dia menghubungi semula pengusaha kedai untuk melihat kerosakan yang berlaku sebelum seorang pekerja asing datang membaikinya.

“Saya nampak dia main sambung saja wayar dan caranya sangat tidak meyakinkan dan dia beritahu belajar daripada rakan sekerja. Selepas beberapa minggu, peti ais itu rosak kembali dan tidak lagi boleh digunakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top