Bantuan tambah pendapatan keluarga

Bantuan tambah pendapatan keluarga

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengumuman kerajaan mengekalkan serta menambah baik bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2026 disifatkan mampu meringankan beban perbelanjaan keluarga, terutama ketika harga barangan asas semakin meningkat.

Bagi peniaga kecil, Norashikin Abu Bakar, 42, yang tinggal di Flat PKNS Taman Keramat, pengumuman itu dianggap satu kelegaan besar buat keluarganya.

Norashikin yang mempunyai empat anak berusia antara tiga hingga 20 tahun berkata, bantuan bulanan SARA bukan sekadar menampung pembelian barangan dapur, tetapi turut membantu menyediakan makanan berkhasiat kepada anak-anak.

“Bantuan diberikan kerajaan ini adalah sebagai tambahan pendapatan sekeluarga yang dapat dibelanjakan.

“Sebagai contoh saya dapat membeli makanan berkhasiat untuk keluarga kami. Ia juga meringankan perbelanjaan membeli barangan dapur.

“Dengan pengenalan pemberian setiap bulan pula dapat menambah lagi peruntukan untuk pendidikan anak seperti menghantar tuisyen.

“Cuma saya minta supaya kerajaan lebih tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang sesuka hati menaikkan harga jualan,” katanya.

Suami Norashikin, Mohamad Fauzi Azmi@Mid, 44, bekerja sebagai pemandu lori, dan pasangan itu mengakui pemberian STR serta SARA banyak membantu mereka bertahan dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menekan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, kerajaan sekali lagi memberi RM100 SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang akan disalurkan pertengahan Februari depan.

Bantuan itu sebahagian daripada langkah meringankan beban rakyat menjelang Ramadan dan Tahun Baharu Cina selain melengkapi pelaksanaan STR dan SARA bernilai keseluruhan RM15 bilion hasil penjimatan subsidi diesel dan RON95

Malah, bayaran STR Fasa Empat 2025, yang dijadualkan untuk bulan November dan bernilai RM2 bilion, diawalkan dan disalurkan mulai 18 Oktober.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju meluluskan diskaun tol 50 peratus untuk dua hari sempena perayaan Deepavali pada 20 Oktober ini.

Seorang pekerja swasta, Kalidevi Mogan, 40, yang mendapat manfaat daripada bantuan itu berkata dia amat bersyukur dengan bantuan yang diawalkan itu, lebih-lebih lagi sempena perayaan Deepavali.

“Sebagai seorang ibu kepada dua anak berkeperluan khas, setiap bantuan yang diterima amat bermakna buat kami.

“Ia bukan sekadar membantu meringankan beban perbelanjaan harian tetapi juga memberi peluang untuk saya sekeluarga membuat sedikit persiapan bagi menyambut Deepavali dengan lebih tenang dan gembira bersama keluarga.

“Bantuan seperti ini benar-benar memberi kelegaan dan menunjukkan kerajaan prihatin terhadap nasib keluarga seperti kami,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026, kerajaan turut mengumumkan semua sembilan juta penerima STR akan menerima SARA sehingga RM100 setiap bulan atau RM1,200 setahun, manakala sejuta penerima STR di bawah e-Kasih akan menerima SARA sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun.

Bagi kategori bujang pula, mereka menerima RM600 setahun atau RM50 sebulan melalui SARA, menjadikan kadar maksimum diterima isi rumah ialah RM4,600 bagi keluarga berpendapatan bawah RM2,500 dengan lima anak.

Bagi penerima bantuan yang mencecah usia warga emas, Yamin Zahari, 62, berkata bantuan berkenaan menjadi penyambung harapan untuk meneruskan kehidupan seharian selepas tidak lagi bekerja.

“Saya penerima sumbangan STR dan SARA terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sumbangan yang disalurkan ini.

“Sekurang-kurangnya ia dapat membantu sedikit sebanyak perbelanjaan harian kami.

“Saya juga sarankan agar kerajaan dapat menaikkan jumlah dari RM100 kepada antara RM200 hingga RM250 setiap bulan memandangkan harga barang-barang keperluan harian agak tinggi,” katanya.

Yamin turut mencadangkan supaya saluran bantuan diseragamkan terus ke akaun bank bagi memudahkan penerima serta diperluas bagi pembelian semua jenis barangan keperluan.

Bagi anak muda, Muhammad Fiqry Indragunawan, 28, bantuan itu menjadi suntikan kecil namun bermakna untuk menguruskan kehidupan di ibu kota.

“Bantuan yang diberikan kerajaan untuk golongan bujang seperti saya, membolehkan saya membantu ahli keluarga lain,” katanya yang bekerja sebagai kerani dan tinggal bersendirian di Keramat selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top