Gimnas Israel kecewa kekal dilarang masuk Indonesia

Gimnas Israel kecewa kekal dilarang masuk Indonesia

Lausanne: Israel mengesahkan bahawa mereka tidak akan menyertai Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Jakarta selepas atletnya tidak diberikan visa, dengan Persekutuan Gimnastik Israel menyifatkan keputusan itu sebagai ‘mengejutkan dan mengecewakan”.

Indonesia pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa mereka menolak permohonan visa atlet Israel susulan bantahan terhadap serangan ketenteraan Israel di Gaza, sekali gus menyebabkan atlet Israel terlepas peluang untuk bertanding dalam kejohanan dunia yang bermula Ahad ini di negara majoriti Muslim terbesar dunia itu, yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel.

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) semalam mengesahkan pihaknya menerima dua rayuan yang dikemukakan oleh persekutuan gimnastik Israel.

CAS menolak rayuan pertama berhubung keengganan Indonesia mengeluarkan visa, dengan alasan tiada bidang kuasa. Kes kedua yang memohon agar Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) memastikan penyertaan atlet Israel atau memindahkan kejohanan itu masih dalam pertimbangan.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan langkah sementara, dan Setiausaha Agung FIG, Sarit Shenar, mengesahkan kepada Reuters semalam bahawa harapan Israel untuk mengambil bahagian kini sudah berakhir.

“Bagi kejohanan dunia kali ini, segalanya sudah berakhir. Tidak kira apa pun yang akan berlaku selepas ini, kami tidak dapat menenangkan hati barisan gimnas.

“Untuk masa depan sukan Israel, dan juga masa depan sukan dunia, saya mahu melihat satu keputusan tegas yang memastikan tiada ruang untuk sebarang keputusan seperti ini oleh mana-mana negara atau persekutuan antarabangsa.

“Saya benar-benar berharap CAS akan membuat keputusan yang tegas bagi menghalang mana-mana pihak yang mempunyai idea tidak masuk akal untuk mendiskriminasi mana-mana atlet dari mana-mana negara atas sebarang alasan,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Undang-Undang Indonesia, Yusril Ihza Mahendra berkata, keputusan untuk tidak mengeluarkan visa kepada atlet Israel dibuat selepas menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk majlis ulama dan kerajaan pusat di Jakarta.

Perang di Gaza menerima kecaman hebat di Indonesia, meskipun gencatan senjata baru-baru ini sudah berkuat kuasa.

Kempen ketenteraan Israel di Gaza mengorbankan hampir 68,000 orang menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, dengan ribuan lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top