Pemandu bas dipenjara 66 tahun, 22 sebatan amang seksual 5 pelajar

Pemandu bas dipenjara 66 tahun, 22 sebatan amang seksual 5 pelajar

am@hmetro.com.my

Muar: Pemandu bas henti-henti dipenjara 66 tahun dan 22 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar perempuan sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, sejak tahun lalu.

Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Sazali Sahlan, 53, yang berhadapan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Selepas mempertimbangkan pengakuan dan rayuan dibuat tertuduh selain hujahan pihak pendakwaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan kesemua hukuman penjara berjalan serentak melainkan sebatan dan ini bermakna, tertuduh hanya perlu menjalani enam tahun penjara serta 22 sebatan.

Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang dalam tahanan serta pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman penjara.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang sudah berkahwin namun tidak mempunyai anak didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar perempuan berusia 14 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bas yang diparkir hadapan hentian bas Jalan Yong Peng-Muar, Yong Peng pada jam 6,45 petang, antara hujung 2024 hingga pertengahan 2025.

Seksyen 14 (a) AKKSTKK) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pengadu yang juga mangsa mengenai kejadian amang seksual fizikal ketika menaiki bas dipandu tertuduh.

Siasatan polis mendapati, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu sejak tahun lalu dan kali terakhir pertengahan tahun ini.

Malah, kelima-lima mangsa jelas melihat perbuatan tertuduh ketika dengan kejadian berlaku ketika mereka pulang ke sekolah bersama-sama.

Pendakwan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top