90 minit tanpa masalah, Norgaard sedia gempur Fulham

90 minit tanpa masalah, Norgaard sedia gempur Fulham

Copenhagen: Christian Norgaard berkata dia berharap Mikel Arteta menonton dari rumah selepas berjaya beraksi selama 90 minit bersama skuad Denmark Ahad lalu.

Rasmus Hojlund, Joachim Andersen dan Mikkel Damsgaard masing-masing meledak gol ketika Denmark mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen kelayakan Piala Dunia menerusi kemenangan selesa 3-1 ke atas Greece dalam saingan Kumpulan C.

Norgaard kembali dalam kesebelasan utama kendalian Brian Riemer di Stadium Parken, Copenhagen dan bermain hingga wisel penamat, selepas hanya masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika menentang Belarus sebelum ini.

Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini bergelut dengan masalah lutut beberapa minggu kebelakangan ini dan tidak disenaraikan langsung dalam dua aksi kelayakan menentang Scotland dan Greece bulan lalu.

Kecederaan berkenaan menjadi punca kekecewaan besar buat Norgaard pada awal kariernya bersama Arsenal selepas perpindahan bernilai £15 juta (RM90.6 juta) dari Brentford pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Ia bermakna Norgaard baru dua kali diturunkan bersama The Gunners sejak menyertai kelab itu, dan masih belum membuat sebarang penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Bercakap selepas kemenangan Denmark itu, Norgaard yang kelihatan gembira mengakui lega dapat menamatkan perlawanan tanpa sebarang masalah kecederaan.

“Ia amat menyenangkan, saya berjaya lakukannya,” katanya.

“Tiada yang lebih indah daripada melangkah masuk ke stadium ini untuk perlawanan antarabangsa dengan sorakan penuh penonton menyanyikan lagu kebangsaan.

“Saya tersenyum sepanjang masa dan hampir seluruh keluarga saya berada di sini menonton, jadi ia satu malam yang sangat istimewa buat saya.”

Norgaard berharap aksi itu dapat meyakinkan Arteta bahawa dia kini cergas dan bersedia untuk kembali memperkuatkan Arsenal yang akan berdepan Fulham hujung minggu ini.

“Ia juga penting untuk saya mendapatkan minit permainan ini bagi menunjukkan kepada kelab bahawa saya mampu beraksi penuh tanpa masalah,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top