Singapura: Seorang lelaki warga Singapura berusia 25 tahun dikesan membawa kad Pokemon tidak diisytiharkan bernilai S$30,000 (kira-kira RM105,000) di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi, Jumaat lalu.
Memetik MS News, pihak berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata, lelaki itu pada mulanya mendakwa tidak mempunyai sebarang barangan untuk diisytiharkan ketika melalui kawasan pemeriksaan bagasi.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bagasinya menemukan sejumlah besar pelbagai kad dagangan Pokemon yang disembunyikan.
Difahamkan, kad berkenaan dianggarkan bernilai lebih S$30,000 (kira-kira RM105,000).
Antara barangan yang dirampas termasuk empat kotak edisi khas Pokemon Center Limited Fukuoka.
Kes berkenaan kemudian dirujuk kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut.
Dalam kenyataan sama, ICA mengingatkan orang ramai supaya mengisytiharkan dan membayar duti serta cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas barangan yang dibeli di luar negara jika melebihi had bebas duti ditetapkan.
ICA turut menasihatkan pengembara yang tidak pasti mengenai barangan mereka supaya membuat pengisytiharan di Laluan Merah atau di pejabat Pembayaran Cukai Kastam Singapura.
© New Straits Times Press (M) Bhd




