Balasan Itu Benar! ‘Qifarah’ Hantui Pawagam Dengan Cerita Dosa & Penyesalan

Balasan Itu Benar! ‘Qifarah’ Hantui Pawagam Dengan Cerita Dosa & Penyesalan

Siapa sangka, satu dosa kecil boleh membawa padah yang tidak dijangka. Itulah yang cuba disampaikan dalam filem seram tempatan terbaharu, Qifarah, yang kini menjadi buah mulut ramai sejak mula ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Diarahkan pengarah prolifik Ghaz Abu Bakar, naskhah ini bukan sekadar kisah hantu menakutkan, sebaliknya menyentuh sisi gelap manusia tentang balasan, penyesalan dan karma yang datang tanpa diduga.

Menampilkan gandingan mantap Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay dan ramai lagi, Qifarah hadir dengan sentuhan visual yang gah, penceritaan yang berani dan lakonan yang benar-benar meninggalkan kesan.

Kalau anda masih ragu-ragu mahu menonton, ini 5 sebab kenapa Qifarah wajib ada dalam senarai tontonan tahun ini!

1. Cerita Penuh Misteri & Plot Twist ‘Bikin Sesak Nafas’

Sejak babak pertama, penonton sudah dibawa ke dunia teka-teki permainan monyet misteri, kanak-kanak berhantu dan rahsia bilik bawah tanah.

Setiap persoalan terungkai dengan plot twist tak disangka hingga membuat penonton menahan nafas. Satu perjalanan seram yang bukan sekadar menakutkan, tapi penuh simbolik dan makna tersirat.

2. Lakonan Padu, Sakinah Paling ‘Menjadi’

Remy Ishak kekal dengan karisma dan intensiti, manakala Liyana Jasmay tampil dengan sisi matang dan beremosi.

Namun, Sharifah Sakinah benar-benar mencuri tumpuan dengan karakter ekstrem, berani dan penuh intensiti.

Lakonannya membuat penonton tak senang duduk antara terbaik dalam kerjayanya.

3. Suasana Seram Old School, Tapi Visual Macam Filem Luar

Gabungan pencahayaan redup, bunyi pintu berkeriuk dan lokasi suram menjadikan suasana Qifarah terasa seram klasik, tapi masih bergaya moden.

Tambahan pula, babak kanibalisme yang divisualkan secara simbolik memberi sentuhan berani dan luar kebiasaan dalam filem tempatan.

4. Efek Bunyi & Visual ‘Real Gila’

Setiap helaan nafas, bisikan halus dan bunyi seretan lembut berjaya membina ketegangan yang autentik.

Kekuatan tatabunyi dan efek khas menjadikan pengalaman menonton Qifarah benar-benar terasa ‘hidup’.

Tak keterlaluan jika dikatakan, aspek teknikalnya antara yang terbaik dalam filem seram Malaysia setakat ini.

5. Percubaan Pertama Ghaz Abu Bakar Dalam Dunia Seram

Dikenali dengan filem aksi seperti Polis Evo dan J Revolusi, Ghaz Abu Bakar kini tampil dengan percubaan pertama dalam genre seram dan hasilnya menjadi luar biasa.

Gaya pengarahan kemas, tempo dramatik dan visual sinematik membuktikan Ghaz mampu keluar dari zon selesa tanpa kehilangan identiti.

Jangan lepaskan peluang menonton filem Qifarah yang sudah berada di pawagam berhampiran sejak 9 Oktober 2025.

Artikel Berkaitan: Sharifah Sakinah Hidupkan Watak Ibu Tiri Berilmu Hitam Dalam ‘Qifarah’

Artikel Berkaitan: Sharifah Sakinah Kongsi Pengalaman Hidupkan Watak ‘Mak Wa’ Dalam Qifarah – “Saya Cipta Sendiri Ekspresi & Jiwa Narsisistik Karakter Tu”

Scroll to Top