Kuala Lumpur: Pemain elit Program Pembangunan Junior (NJDP), Amberly Zaira, terus membuktikan kemampuannya di gelanggang golf apabila dinobatkan sebagai Pemain Amatur Terbaik pada Kejohanan The Ladies 2025 yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club dari 13 hingga 15 Oktober lalu.
Biarpun baru berusia 16 tahun, Amberly tampil matang dengan permainan konsisten sepanjang tiga hari kejohanan apabila mencatat 71-75-74 untuk jumlah keseluruhan 220 pukulan, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan daripada 32 peserta termasuk pemain profesional dan amatur.
Kejayaan itu bukan sahaja membanggakan Persatuan Golf Malaysia (MGA), malah membuktikan program pembangunan di bawah NJDP berada di landasan tepat dalam melahirkan bakat muda berpotensi besar mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
Presiden MGA turut merakamkan ucapan tahniah kepada Amberly atas pencapaian luar biasa itu yang bukan sekadar mengharumkan nama NJDP, malah menjadi bukti kemampuan pemain muda tempatan bersaing dengan kelompok profesional.
Dalam masa sama, seorang lagi wakil NJDP, Siti Nurhusna, turut mencuri perhatian apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan dengan catatan 11 di atas par bagi tiga hari kejohanan – satu pencapaian yang wajar dipuji.
Kejohanan The Ladies 2025 yang menawarkan jumlah hadiah keseluruhan RM100,000 itu menjadi medan penting buat pemain muda seperti Amberly dan Siti menimba pengalaman berharga serta mengukur kemampuan sebenar mereka menentang barisan pemain profesional tanah air.
© New Straits Times Press (M) Bhd




