Jenayah indeks Malaysia meningkat pada 2024 – DOSM

Jenayah indeks Malaysia meningkat pada 2024 – DOSM

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jenayah Indeks Malaysia meningkat 11.1 peratus pada 2024 dengan 58,255 kes direkodkan berbanding 52,444 kes pada 2023.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan Statistik Jenayah Malaysia 2025 berkata, peningkatan itu dipacu oleh jenayah harta benda yang melonjak 12.4 peratus kepada 47,188 kes.

Dalam kenyataan hari ini, jenayah kekerasan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 11,067 kes.

Namun, kes bunuh menunjukkan penurunan ketara apabila kes bunuh dengan niat menurun 9.5 peratus kepada 237 kes, manakala kes bunuh tanpa niat kekal sebanyak dua kes.

“Kes penculikan juga menunjukkan sedikit penurunan kepada 17 kes dengan 11 daripadanya melibatkan kanak-kanak,” katanya kenyataan itu.

Tambah DOSM, kes rogol pula meningkat 12.1 peratus kepada 1,899 kes, dengan rogol secara rela melonjak 29.3 peratus manakala rogol dengan paksaan menurun 15.3 peratus.

Berkenaan kes samun, DOSM mendedahkan jumlah kes menurun 6.8 peratus kepada 4,276 kes di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 41.7 peratus melibatkan samun terhadap individu, diikuti jenis lain-lain (38.2 peratus), premis atau institusi (13.5 peratus) dan kenderaan (6.7 peratus).

“Kes pecah rumah dan curi juga menurun 1.8 peratus, dengan 77.6 peratus kejadian berlaku pada waktu malam.

“Bagaimanapun, kes berkaitan dadah terus meningkat 10.6 peratus kepada 81,090 kes, meliputi kes bekalan dan pemilikan bahan terlarang. Kes bekalan dadah meningkat 4.6 peratus, manakala kes pemilikan melonjak 12.7 peratus, mencerminkan penguatkuasaan yang lebih intensif,” katanya.

Sementara itu, kata DOSM, aktiviti penyelewengan barang kawalan turut meningkat 19.1 peratus dengan 2,243 kes direkodkan, melibatkan diesel, petrol, minyak masak dan gula sebagai barangan utama.

Jelasnya, tangkapan kes suapan juga meningkat kepada 24.6 peratus dengan 764 individu ditahan bagi kes memberi dan menerima rasuah.

“Berkenaan kesalahan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja pula mencatatkan peningkatan tertinggi, iaitu 71.1 peratus kepada 296 kes, dengan sektor pembuatan menyumbang lebih separuh daripada jumlah berkenaan.

“Kes berkaitan haiwan menurun kepada 12 kes termasuk kekejaman terhadap haiwan, manakala jenayah rompakan laut yang jarang berlaku di Malaysia hanya merekodkan satu kes pada 2023 dan tiada kes pada 2024.

“Statistik pemulihan menunjukkan bilangan banduan meningkat 28.4 peratus kepada 128,916 individu pada 2024, dengan 90.9 peratus daripadanya lelaki dan selebihnya 9.1 peratus wanita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top