syafil.syazwan@hmetro.com.my
Biarpun tubuhnya tidak sebesar lawan yang dihadapi, namun semangat juang yang dimiliki penyanyi, Fariq MacFly jelas membara saat berada di gelanggang All Star Championship 2025 baru-baru ini.
Dalam dunia pertarungan yang menuntut kekuatan fizikal dan mental, penyanyi muda ini tidak pernah menjadikan saiz tubuh atau kelemahan diri sebagai alasan untuk berundur.
“Saya suka mencabar diri sendiri. Walaupun saya tahu lawan saya kali ini ada kelebihan, termasuk pengalaman dalam silat, saya tetap cuba beri yang terbaik. Dapat sampai ke tahap ini pun sudah membanggakan,” katanya.
Fariq, 24, baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila tampil dalam gelanggang pertarungan seni bela diri. Namun, di sebalik keberaniannya, terselit kisah tekanan dan perjuangan peribadi yang tidak ramai tahu.
Mengulas mengenai pengalamannya bertarung, Fariq tidak berselindung mengakui rasa kecewa terhadap prestasi sendiri selepas tumpas kepada atlet silat, Oyot.
“Secara jujurnya, saya kecewa dengan diri saya. Pertarungan pertama okay, tapi masuk pusingan seterusnya, angin saya dah mula kurang. Dari situ saya belajar banyak benda mengenai kekuatan dan kelemahan diri,” katanya.
Walaupun bekerja sepenuh masa pada waktu siang, Fariq tetap berusaha keras untuk menyeimbangkan antara kerjaya dan latihan.
“Siang saya kerja, malam saya sambung berlatih. Badan memang penat sangat. Sampai rasa dah tak larat, tapi saya teruskan juga. Hadiah dan peluang besar dalam acara ini jadi motivasi utama untuk saya terus bertahan,” katanya.
Bercerita mengenai sumber kekuatan, Fariq menzahirkan penghargaan kepada mereka yang sentiasa berada di belakangnya termasuk rakan rapat, keluarga dan insan tersayang.
“Bagi saya, kemenangan bukan semata-mata untuk diri sendiri. Saya bawa harapan dan semangat daripada kawan-kawan juga. Mereka banyak beri dorongan supaya saya terus melangkah,” katanya.
Namun, seperti kebanyakan insan lain yang berjuang dalam senyap, Fariq tidak terlepas daripada kata-kata sinis dan pandangan skeptikal sesetengah pihak.
“Depan-depan tak ada yang memperkecilkan, tapi kita tahulah manusia ini. Depan lain, belakang lain. Kadang-kadang orang terdekat pun begitu. Tapi, saya jadikan benda itu motivasi untuk buktikan kemampuan diri,” katanya.
Di sebalik senyuman dan semangat juang yang dipamerkan, Fariq mengakui dirinya sedang berdepan tekanan emosi yang berat. Antara punca utama, katanya, ialah pertindihan antara minat dalam bidang seni dan cabaran dalam kehidupan peribadi.
“Saya banyak fikir. Kadang-kadang bila cuba nak kuatkan diri, susah sangat. Saya banyak lalui situasi ini seorang diri. Bila orang tanya, saya lebih suka diam. Tapi dalam hati, saya bergelut,” katanya.
Bagi Fariq, saat perasaan itu datang, hanya satu tempat dia kembali, iaitu Tuhan.
“Bila rasa hilang arah, saya cari Allah. Hanya Dia yang boleh selamatkan kita. Kadang terlintas juga, kenapa aku diuji sampai tahap ni? Tapi mungkin inilah cara Dia nak kuatkan aku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




