Los Angeles: Ace Frehley, gitaris utama asal kumpulan rock dari Amerika Syarikat, KISS, telah meninggal dunia, menurut kenyataan keluarganya. Beliau berusia 74 tahun.
Pemain gitar itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di sisi keluarga, akibat insiden terjatuh baru-baru ini, kata seorang wakil kepada AFP.
Kenyataan daripada keluarga Frehley memaklumkan mereka ‘amat sedih dan kecewa’ dengan pemergiannya.
“Pada saat-saat terakhirnya, kami bernasib baik dapat mengelilinginya dengan kata-kata, fikiran, doa dan niat yang penuh kasih sayang, prihatin dan damai ketika beliau meninggalkan dunia ini,” kata keluarga itu.
“Mengenang kembali semua pencapaian luar biasa dalam hidupnya, kenangan Ace akan terus hidup selamanya!”
Pada 1973, Frehley mengasaskan KISS bersama-sama penyanyi utama Gene Simmons, gitaris Paul Stanley dan pemain dram Peter Criss.
Meskipun pada zaman kostum yang ranggi, KISS tetap tampil menonjol, dengan solekan muka penuh gaya Kabuki, rambut liar dan kasut platform yang sangat tinggi.
Penampilan unik mereka turut menyumbang kepada kejayaan kumpulan itu yang popular dengan lagu-lagu hebat seperti “I Was Made for Lovin’ You,” “God of Thunder” dan “Strutter.”
Setiap persembahan mereka sering diwarnai dengan acara teatrikal, termasuk penggunaan piroteknik dan bom asap.
Seni reka logo kumpulan itu – lambang petir bagi huruf SS dalam KISS – begitu sinonim dengan solekan mereka dan lidah Gene Simmons yang sentiasa dijelirkan.
Frehley meninggalkan kumpulan itu pada 1982 ekoran isu penyalahgunaan bahan terlarang dan perbezaan hala tuju kreatif.
Beliau kemudiannya bergerak sebagai artis solo dan menubuhkan kumpulan Frehley’s Comet yang berjaya menghasilkan beberapa album popular. Beliau kembali bersatu dengan KISS pada pertengahan 1990-an untuk tempoh enam tahun.
Mendiang meninggalkan seorang isteri, Jeanette dan anak perempuan, Monique.
© New Straits Times Press (M) Bhd




