Dakwaan amang seksual fizikal: Mahkamah benarkan mangsa kes Naim Daniel beri keterangan melalui video

Dakwaan amang seksual fizikal: Mahkamah benarkan mangsa kes Naim Daniel beri keterangan melalui video

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Putrajaya: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, membenarkan saksi berkaitan kes penyanyi dan pelakon, Naim Daniel yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada Mei lalu memberikan keterangan menerusi pautan video.

Perkara itu dimaklumkan oleh salah seorang peguam Naim Daniel, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique.

“Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memberikan arahan agar saksi berkaitan iaitu mangsa dalam kes ini untuk memberikan keterangan secara video pada tarikh bicara nanti.

“Jadi pada tarikh bicara, kita akan mendengar saksi yang berkaitan memberikan keterangan secara video,” katanya ketika ditemui selepas perbicaraan hari ini.

Selain Nur Syafiah, Naim Daniel turut diwakili oleh Mohd Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.

Sebelum ini, Naim Daniel atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan pada 19 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, selebriti terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada jam 8.56 malam.

Jika sabit kesalahan, pelantun lagu Sumpah itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat.

Pada 19 September lalu, dilaporkan Mahkamah Sesyen Putrajaya menetapkan tarikh 15, 16 dan 18 Disember ini bagi perbicaraan kes Naim Daniel.

Dalam pada itu, seorang lagi peguam Naim Daniel, Mohd Irwan memaklumkan pihaknya tidak pasti tarikh saksi berkenaan akan memberikan keterangan.

“Itu kita tak pasti, tetapi tarikh perbicaraan kekal sama pada Disember.

“Siapa yang akan beri keterangan dahulu kita tak tahu, bergantung kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Naim Daniel pula menyatakan kerja atau tugasan yang dilakukan olehnya berjalan seperti biasa walaupun kini kesnya itu sedang dibicarakan.

Beliau berkata, akan tetap komited dalam menghadapi perbicaraan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top