GEORGETOWN: Sebanyak tiga buah pusat jagaan warga emas di pusat bandar di sini diarah tutup sejak semalam susulan terdapat kes positif Covid-19 dikesan di salah sebuah pusat berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, tiga pusat itu iaitu di Jalan Katz; Jalan Seang Tek dan Lebuh Cecil diuruskan sebuah syarikat persendirian.
“Pekerja-pekerja di situ juga didapati bertugas di tiga buah pusat ini secara bergilir-gilir mengikut syif.
“Berdasarkan maklumat yang kami terima, terdapat kes positif Covid-19 di pusat jagaan di Jalan Katz membabitkan pekerja dan penghuni di situ,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan mengesan kluster baharu di Pulau Pinang iaitu kluster Lebuh Katz membabitkan kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas.
Difahamkan, lebih 200 penghuni termasuk pekerja berada di ketiga-tiga pusat warga emas berkenaan.
Menurut Boon Poh, susulan kes yang dikesan di Jalan Katz itu, dua buah lagi pusat jagaan warga emas di Jalan Seang Tek dan Lebuh Cecil turut diarah ditutup dan semua pekerja serta penghuni di situ diarah menjalani ujian saringan dan dikuarantin.
“Sampai bila pusat ini perlu ditutup saya tidak dapat pastikan kerana keputusan bergantung kepada penilaian daripada Kementerian Kesihatan” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat berhubung jumlah penghuni dan pekerja di tiga pusat jagaan warga emas tersebut kerana ketiga-tiganya tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib berkata, keadaan semasa di pusat jagaan berkenaan adalah terkawal.
“Sehingga semalam seramai 70 pekerja dan penghuni di pusat jagaan tersebut telah menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 36 daripadanya didapati positif,” katanya.
Tambahnya, ujian saringan Covid-19 juga diteruskan kepada semua penghuni dan pekerja di ketiga-tiga pusat berkenaan. – UTUSAN ONLINE




