am@hmetro.com.my
Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru orang ramai khususnya yang menyambut Deepavali bagi menjadikan perayaan Pesta Cahaya itu tanpa penggunaan bahan diperbuat daripada plastik.
Ia berikutan gaya hidup moden menjana sejumlah besar sisa yang kebanyakannya daripada penggunaan produk sekali guna seperti botol air plastik dan minuman ringan, pinggan plastik, cawan, pisau, sudu, garpu serta pembungkusan makanan.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kadeer berkata, sesetengah penjual bahan manisan mendakwa pengguna yang membeli manisan meminta plastik sekali guna bagi setiap pembelian barangan.
Katanya, amalan itu mesti dihentikan kerana plastik berbahaya kepada alam sekitar, hidupan liar dan kesihatan manusia dalam pelbagai cara termasuk menyumbang kepada perubahan iklim.
“CAP menyarankan orang ramai termasuk penganut Hindu supaya meraikan perayaan ini tanpa plastik dengan katakan tidak kepada peralatan plastik, hiasan dan pembungkusan hadiah.
“Bawa beg sendiri dan bekas isi semula semasa beli-belah.
“Bahan seperti jut dan kain boleh diguna sebagai ganti beg plastik selain gunakan bekas keluli tahan karat yang dibawa sendiri bagi pembelian manisan,” katanya, di sini.
Terdahulu, Mohideen bersama ahli persatuan itu mengadakan kempen ‘Deepavali Tanpa Plastik’ di sekitar Georgetown, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo.
© New Straits Times Press (M) Bhd




