suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suasana hiba menyelubungi Unit Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, malam ini apabila beberapa rakan penuntut lelaki yang maut dipercayai terjatuh dari bangunan kolej kediaman Universiti Malaya (UM) dilihat menunggu ketibaan keluarga mangsa.
Mangsa, Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Gunaan Pengajian Islam, disahkan meninggal dunia jam 4.25 petang ketika menerima rawatan di PPUM.
Tinjauan Harian Metro di sekitar Unit Kecemasan PPUM mendapati suasana hening dengan beberapa penuntut dan kenalan Allahyarham berkumpul sambil menunggu perkembangan lanjut.
Difahamkan, keluarga Allahyarham sedang dalam perjalanan ke PPUM dari Pasir Gudang, Johor dan rakan-rakan mangsa enggan memberikan sebarang kenyataan sehingga keluarga tiba.
Dalam pada itu, sesi bacaan tahlil untuk Allahyarham turut diadakan selepas solat Isyak malam ini, di Masjid Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya.
Sementara itu, bedah siasat dijangka dijalankan malam ini oleh Jabatan Patologi PPUM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




