London: Pengurus Nottingham Forest, Ange Postecoglou menegaskan beliau memerlukan masa untuk membina kejayaan di kelab itu, sambil menolak dakwaan kononnya beliau gagal membawa perubahan sejak mengambil alih pasukan bulan lalu.
Forest masih tercari-cari kemenangan pertama selepas tujuh perlawanan di bawah kendaliannya, menyebabkan mereka jatuh dari tangga kelima ke kedudukan ke-17 Liga Perdana Inggeris.
Namun, jurulatih kelahiran Australia itu menepis kritikan dan menegaskan sejarah di kelab terdahulu membuktikan hasil kerja beliau hanya dapat dilihat selepas diberi ruang dan kepercayaan.
“Saya tidak melihat diri saya sebagai pengurus gagal. Apabila saya datang ke Tottenham dua tahun lalu, saya diberitahu kelab itu perlu menang trofi. Kami menang Liga Europa dan layak ke Liga Juara-Juara. Tapi yang orang ingat, kami tamatkan liga di tangga ke-17,” katanya.
Menurut Postecoglou, kejayaan tidak datang sekelip mata kerana beliau sedang cuba mengubah falsafah permainan pasukan agar lebih tersusun dan berani menyerang.
“Mungkin saya pengurus yang kalau diberi masa, akhirnya cerita akan berakhir sama seperti di semua kelab lama saya, dengan kejuaraan,” ujarnya.
Mengulas tekanan yang dihadapinya menjelang aksi menentang Chelsea di laman sendiri esok, Postecoglou mengakui situasi itu lumrah bagi mana-mana pengurus.
“Saya baru saja dapat rumah untuk disewa minggu ini, mungkin itu keputusan yang salah sebab saya tak tahu berapa lama saya di sini,” katanya berseloroh.
“Tekanan itu sentiasa ada, tapi ia sebahagian daripada kerja. Kami hanya perlu terus bekerja keras dan melindungi pemain daripada gangguan luar.”
Forest bakal berdepan Chelsea pada aksi awal esok dengan harapan memecah kebuntuan kemenangan dan menamatkan kemarau tujuh perlawanan tanpa tiga mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




