am@hmetro.com.my
Georgetown: Lelaki berusia 50-an ditahan bagi membantu siasatan kes samun hingga mendatangkan kecederaan bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak di Taman Pekaka, Sungai Dua di sini, hari ini.
Suspek berkenaan ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di Bayan Baru dekat sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan permohonan reman.
“Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan dan akan direman esok mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini media melaporkan Dzulkifli yang juga bekas bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menerima 15 jahitan di kepala akibat disamun ketika pulang dari solat Subuh berhampiran rumahnya di Taman Pekaka di sini.
Beliau dipercayai dihentak dengan objek menyerupai pistol sebelum suspek melarikan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd



