lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dasar mengehadkan akses platform media sosial kepada kanak-kanak bawah umur bukan untuk menyekat kebebasan, tetapi untuk melindungi masa depan generasi muda, tegas Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyalahgunaan peranti dan media sosial dalam kalangan pelajar dikenal pasti antara faktor utama menyumbang kepada gejala buli, tekanan emosi, serta kemerosotan disiplin di sekolah.
Justeru, beliau berkata, KDN menyokong dasar bagi mengehadkan akses kepada platform media sosial yang memaparkan kandungan keganasan, lucah serta unsur negatif yang berisiko membawa kemudaratan kepada kanak-kanak.
“Sebagai pelengkap kepada langkah ini, KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan tindakan bersepadu yang menekankan pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan.
“Antara fokus utama termasuk memperkukuh kempen kesedaran tentang keselamatan digital bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“KDN juga akan meningkatkan rondaan serta kehadiran polis di kawasan sekolah serta memperkukuh peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam membimbing pelajar mengenai disiplin dan keselamatan siber,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Jemaah Menteri mencadangkan larangan penggunaan telefon pintar dan media sosial kepada pelajar berusia 16 tahun ke bawah.
Ia bertujuan menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk kes buli dan jenayah yang semakin membimbangkan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, KDN menyokong pendekatan menyeluruh termasuk mempertingkat sistem sokongan kesihatan mental yang mudah diakses dan mesra belia di sekolah serta komuniti.
“Selain itu, penguatkuasaan yang jelas dengan akibat yang konsisten terhadap penyalahgunaan peranti, buli siber dan eksploitasi digital.
“Di samping memantau serta penyesuaian dasar secara berterusan agar langkah ini kekal relevan dengan perubahan teknologi,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan pembabitan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM), PIBG, badan bukan kerajaan (NGO) serta platform digital.
“Pendidikan literasi digital yang mantap bagi membentuk pelajar yang beretika dan bertanggungjawab dalam dunia maya.
“Akauntabiliti platform serta keselamatan melalui reka bentuk supaya syarikat teknologi turut memainkan peranan dalam melindungi pengguna bawah umur.
“Saya menegaskan bahawa isu keselamatan digital pelajar bukan semata-mata persoalan disiplin sekolah, tetapi satu tanggungjawab nasional yang menuntut kerjasama menyeluruh antara kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, komuniti dan industri teknologi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




