Bahaya jual mercun di Little India, tiada ciri selamat – CAP

Bahaya jual mercun di Little India, tiada ciri selamat – CAP

am@hmetro.com.my

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang terhadap penjualan mercun di kawasan Little India, di sini, yang sesak ketika musim perayaan.

Ia berikutan kawasan yang dipenuhi dengan gerai dan kanopi itu hanya mempunyai sedikit saja ruang dan berbahaya jika berlaku kebakaran yang serius.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kebanyakan gerai tidak dilengkapi ciri keselamatan yang betul iaitu tiada alat pemadam api, penyimpanan selamat serta langkah keselamatan asas.

Katanya, satu percikan api di tempat yang sesak seperti itu boleh menyebabkan kebakaran besar sekali gus berbahaya kepada nyawa, premis dan rumah.

“Mercun hanya boleh dijual di premis berlesen yang mematuhi peraturan keselamatan.

“Pihak berkuasa tempatan perlu menghentikan penjualan mercun secara haram dan mengutamakan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohideen berkata, CAP menggesa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) supaya segera memeriksa kawasan itu.

“Tindakan perlu diambil sebelum berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Cegah lebih baik daripada berlakunya bencana,” katanya.

Little India adalah merangkumi kawasan sekitar Lebuh Queen, Lebuh Chulia dan Jalan Pasa, menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Terletak di Tapak Warisan Dunia UNESCO, Little India akan lebih sesak pada musim perayaan seperti Deepavali, Thaipusam, Krismas dan Aidilfitri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top