'Bila masuk AKPS semua tabiat buruk itu berhenti, mesti berhenti!' – Mohd Shuhaily

'Bila masuk AKPS semua tabiat buruk itu berhenti, mesti berhenti!' – Mohd Shuhaily

harisfadli@hmetro.com.my

Putrajaya: “Jika ada terjebak benda-benda tidak sihat, bila kamu masuk AKPS semua tabiat buruk itu berhenti, mesti berhenti!”.

Itu ‘nasihat’ Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada semua pegawai dan anggotanya.

Menurutnya, perkara itu ditekankan sejak mula-mula beliau dilantik bagi menerajui agensi yang baru ditubuhkan itu, malah sebuah video tular memaparkan beliau memarahi anggotanya kerana didapati melakukan kesalahan.

“Siapa yang ada pada malam itu tahu, setahu-tahunya bahawa saya datang untuk meraikan kejayaan tuan-tuan dan puan-puan menahan dan menghantar pulang hampir 200 warga asing yang masuk tanpa sebab yang munasabah.

“Tetapi Allah SWT membuka mata saya kepada sesuatu yang tak sepatutnya saya tahu ataupun lihat.

“Dan untuk pengetahuan semua, amukan saya malam itu kepada satu kumpulan (syif), yang mana akhirnya terzahir bahawa dalam Ops Rentas, separuh daripada ditahan SPRM adalah dalam kumpulan yang saya amuk pada malam itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Townhall Bersama Ketua Pengarah AKPS di Kompleks Setia Perkasa, di sini, semalam, yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, video ‘amukan’ itu dirakam oleh seorang individu secara senyap-senyap tanpa pengetahuannya sehingga tular di media sosial.

“(Ia berlaku) Dua minggu selepas saya hadir, seorang ditangkap disusuli dengan Ops Rentas daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih diteruskan sehingga hari ini.

“Itu satu benda yang perlu kita perbaiki. Semua di barisan hadapan tanpa mengira apa agensi, itu adalah amalan kerja yang perlu kita perbaiki,” katanya.

Menurutnya, video tular berkenaan rata-rata mendapat sokongan daripada orang ramai, namun sebagai pemimpin agensi itu bukanlah sesuatu yang membanggakan kerana ia merupakan kelemahan daripada dirinya sendiri.

Katanya, beliau tidak memilih kumpulan berkenaan untuk bekerja dalam syif terbabit namun Allah SWT menggerakkan dirinya untuk memberi amaran kepada kumpulan terbabit.

“Tanggungjawab saya selesai, saya tak tahu apa hikmah dia yang berlaku pada malam itu sehinggalah SPRM menangkap hampir separuh daripada mereka, daripada kumpulan itu.

“Saya tak berbangga, mungkin orang ingat saya suka, tetapi setiap kali anggota saya jatuh, saya ‘sakit’, saya kecewa kerana ianya menyulitkan AKPS dalam konteks operasi,” katanya.

Beliau berkata, setiap pegawai atau anggota yang ditahan atau disiasat perlu dialihkan daripada tugas mereka dan beban kerja kakitangan berkenaan perlu dipikul oleh orang lain malah gaji mereka turut disekat.

Justeru, beliau menegaskan sudah sampai masanya mereka yang terbabit dengan kegiatan jenayah supaya berubah segera kerana tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top