mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Fattah Amin, 35, memaklumkan amat hairan dengan isu artis diboikot oleh netizen gara-gara hadir ke majlis resepsi perkahwinannya dengan isteri tercinta, Amira Othman, 31.
Fattah memaklumkan tidak faham kenapa ia berlaku sedangkan tujuan artis terbabit hadir sebagai seorang rakan dan menghargai persahabatan antara sesama mereka, selain mengeratkan silaturahim.
“Tiba-tiba ada sesetengah pihak pula nak boikotlah apa itu. Saya tak faham, kami sejujurnya tak faham benda itu. Kami tak aware (sedar) benda itu.
“Saya ada baca dekat media sosial artikel semua, ‘headline’ semua. Tapi yang boleh saya cakapkan, janganlah kita buat benda itu.
“Bagi saya, hidup kita ini nak yang baik-baik saja, hidup kita ini nak tenang-tenang saja kan. Jadi, apa salahnya nak menghadiri majlis kahwin?,” katanya ditemui pada majlis An Exclusive Hi-Tea Event The Garden Of Love Fattmira anjuran Usanita TV (UTV) di sini, hari ini.
Fattah berkata, bukanlah artis itu berbuat benda salah contohnya menyokong pengganas Israel sehingga diboikot begitu.
“Kalau dia support Israel, kamu boikotlah. Tapi kalau pergi majlis kahwin pun nak boikot, kami tak faham. Tapi kami doakan orang yang buat benda itu diberi taufik hidayah untuk berubah.
“Sebab yang terjadi itu, yang terkesan itu bukan dekat saya, dekat orang yang nak diboikot itu. Jadi saya doakan supaya orang yang nak boikot tu berubahlah,” katanya.
Amira pula berkata, ini adalah lumrah yang perlu dilalui oleh anak seni.
“Memang kita tak boleh tutuplah. Kita tak boleh ‘stop’ (hentikan). Memang akan ada orang suka, ada orang tak suka, kan?
“Tapi untuk kami ambil hati, kecil hati, marah, ia hanya akan membuat kita macam itu adalah benda-benda kecillah untuk kami terasa, marah ke, ambil hati ke.
“Pada saya, itu adalah pilihan masing-masing, privasi masing-masing. Saya yakin setiap individu dia ada pilihan masing-masing kan,” katanya.
Tambah Amira, dia tidak nampak atas dasar apa tindakan boikot ini dibuat.
“Mungkin saya doakan, mudah-mudahan dia diberikan ketenangan dan tidak ada merasa sakit bila melihat orang lain ‘happy’ (gembira).
“Kita ‘happy’ tengok orang lain happy. Insya-Allah. Allah bagi kita happy, kan? Kalau kita tengok orang lain kita tak happy, kita sakit, kita nak boikot lah. Akhirnya kita akan hidup dengan tidak tenang.
“Saya harap kalian semua berbaik-baik sahaja. Sokong sajalah mana-mana, kan? Kalau tengok orang pergi kenduri ke, orang happy ke, kita doakan, mudah-mudahan kita pun dapat ‘happiness’ tu, kan?,” katanya.
Bagi Amira dan suaminya, berdepan dengan kerenah netizen yang pelbagai adalah satu lumrah.
Terdahulu beberapa portal hiburan melaporkan ramai pengikut bertindak ‘unfollow’ media sosial beberapa artis kerana hadir ke majlis pasangan selebriti itu pada 14 September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




