harisfadli@hmetro.com.my
Ampang: Pekerja kedai pakaian ditahan selepas disyaki mencuri wang syarikat berjumlah RM2,140 dengan cara memperdaya pelanggan sejak sebulan lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, wanita berusia 30 tahun itu yang ditahan kelmarin, dipercayai memberikan kod QR akaun bank peribadi miliknya kepada pelanggan yang membuat pembayaran tanpa tunai.
Menurutnya, pemilik perniagaan yang juga wanita tempatan berusia 46 tahun membuat laporan polis selepas mengesyaki berlaku penyelewengan membabitkan pekerja itu apabila membuat semakan penyata kewangan.
“Mangsa menyedari setiap pembelian pakaian oleh pelanggan dipindahkan ke akaun peribadi milik suspek dan bukannya ke akaun syarikat. Ia dikatakan berlaku sejak satu bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan suspek di sekitar Taman Cemerlang, Gombak pada 3.55 petang Khamis dan merampas telefon bimbit dan sekeping kad bank bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan saringan urin dapati negatif dadah,” katanya.
Mohd Azam berkata, suspek direman empat hari bermula semalam hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan penjara malah boleh disebat bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




