nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: PAS menjelaskan tindakan parti itu melantik Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah bukan disebabkan tiada calon tempatan, sebaliknya berdasarkan pengalaman, pengetahuan geopolitik bekas Ahli Parlimen Ketereh itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, mereka yang berkelayakan di Sabah akan diangkat sebagai calon untuk PRN nanti.
“Bukan tiada calon tempatan sebaliknya mereka yang berkelayakan di Sabah akan dipilih sebagai calon yang akan bertanding pada PRN. Sebab itu kita tidak lantik calon tempatan sebagai pengarah pilihan raya bagi mengelak kelam-kabut.
“Pengalaman Annuar Musa juga sudah lama selain pernah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya di Sabah untuk Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Maklumat yang beliau ada mengenai geopolitik melebihi daripada orang lain. Jadi kita yakin pengalaman dan maklumat itu boleh membantu parti merangka strategi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan di sini, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dilaporkan berkata, writ pilihan raya juga sudah dikeluarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




