Khai Xing-Aaron raih gelaran sulung

Khai Xing-Aaron raih gelaran sulung

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai meraih gelaran pertama tahun ini apabila menewaskan rakan senegara di pentas final Malaysia Super 100, hari ini.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor itu, Khai Xing-Aaron dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan straight set ke atas Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao 21-18, 21-7 dalam masa 28 minit sahaja.

Pada set pertama, bekas juara remaja dunia itu bermula agak perlahan dan ketinggalan 1-7 sebelum bangkit mengikat kedudukan 16-16 dan kemudian terus mendahului untuk mencapai angka ke-21 terlebih dahulu.

Kemenangan itu ternyata memberi tonik buat mereka yang tidak mengulangi corak permainan seperti sebelum ini, sebaliknya terus bermain dengan konsisten dan memimpin perlawanan sejak awal hingga ke mata akhir bagi mencatat kemenangan lebih mudah.

Selaku juara, Khai Xing-Aaron membawa pulang hadiah wang tunai AS$9,480 (RM40,062), manakala Wei Jie-Sheng Hao berpuas hati dengan AS$4,560 (RM19,277).

Kemenangan itu pasti memberi sinar kepada mereka untuk terus bangkit dalam kejohanan akan datang serta mendapatkan kepercayaan ketua jurulatih negara, Herry Iman Pierngadi, agar mereka dapat dikekalkan untuk tempoh lama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top