am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman menegaskan hubungan baik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting dikekalkan.
Katanya, perkara itu penting untuk kebajikan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat selaras perjuangan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Susulan itu, katanya tidak ada manfaat yang akan diperolehi negeri ini jika kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk bermusuh dengan kerajaan Persekutuan.
“Satu ketika dulu, saya menentang Kuala Lumpur (kerajaan Persekutuan) tapi akhirnya yang berkuasa bukan kita tapi Kuala Lumpur.
“Apabila kita mengkehendaki sesuatu, kita terpaksa bekerjasama dengan Persekutuan.
“Kenapa (jalin kerjasama dengan) Pakatan Harapan (PH)? PH daripada hemat saya, pengerusinya adalah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Misalnya, Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah) bermusuh dengan Perdana Menteri, Sabah bermusuh dengan kerajaan Persekutuan, akhirnya kita juga yang akan menerima (padah).
“Ini bukan senang untuk jelaskan kepada rakyat apa matlamat yang kita harus utamakan,” katanya dalam sesi Forum Khas GRS sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anifah yang juga bekas Menteri Luar turut menekankan kepentingan memastikan keamanan dan kestabilan politik bagi mengukuhkan ekonomi khususnya di negeri ini.
Katanya, tambahan pula Sabah terkait dengan isu keselamatan seperti isu laut China Selatan dan kebanjiran pendatang tanpa izin (Pati) terutamanya di kawasan pantai timur negeri ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata tanpa keamanan di sesebuah negeri dan kestabilan politik akan menjejaskan peluang untuk pelabur datang membuat pelaburan.
“Kita semua tahu keamanan adalah penting dalam geopolitik semasa. Berdasarkan asas garis masa sekarang, Sabah mesti kekal stabil.
“Keamanan penting untuk kita terus berkembang dalam ekonomi. Sabah mempunyai posisi strategik tetapi sensitif (terutamanya) di kawasan pantai timur, menangani Pati satu-satunya masalah kita.
“Satu ketika dulu pelancong enggan datang ke Sabah kerana insiden yang pernah berlaku.
“Tidak ada pelabur akan melabur kalau (sesebuah) tempat itu tidak aman. Tanggungjawab kita, kalau mahu pelabur datang, kita harus berusaha bukan saja (mengekalkan) keamanan tapi juga kestabilan.
“Apa kerajaan stabil? Kita tidak mahu dari semasa ke semasa ada adanya pertukaran kerajaan .. ia menjadi masalah besar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




