London: Morgan Rogers dan Emiliano Buendia menjadi inspirasi kebangkitan Aston Villa yang menewaskan Tottenham 2-1 sebentar tadi, sekali gus menambah derita skuad London Utara itu di laman sendiri.
Rodrigo Bentancur meletakkan pasukan kendalian Thomas Frank di depan pada separuh masa pertama di Stadium Tottenham Hotspur.
Namun, Rogers menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi rembatan cantik, sebelum Buendia yang masuk sebagai pemain gantian memastikan tiga mata penuh milik Villa pada minit-minit akhir perlawanan.
Prestasi buruk Tottenham di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Perdana – 11 kekalahan dan hanya tiga kemenangan dalam 18 perlawanan liga – terus menjadi masalah besar buat Frank sejak mengambil alih tugas daripada Ange Postecoglou yang dipecat pada pra-musim lalu.
Walaupun majoriti kekalahan itu berlaku di bawah Postecoglou musim lalu, tempoh singkat Frank di Stadium berkapasiti 62,000 tempat duduk itu juga menunjukkan keputusan tidak konsisten, dengan penyokong pernah mengejek selepas kekalahan kepada Bournemouth pada Ogos dan keputusan seri 1-1 menentang Wolves bulan lalu.
Kekalahan terbaru itu menamatkan rekod tujuh perlawanan tanpa kalah Tottenham dalam semua kejohanan, dan mereka kini menghuni tangga keenam liga selepas tewas dua kali dalam lapan perlawanan pertama di bawah bimbingan Frank.
Villa pula bangkit daripada permulaan musim tanpa kemenangan paling panjang sejak 1964 dengan mencatat lima kemenangan berturut-turut — tiga dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dua di Liga Europa — sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada lapan perlawanan.
Kemenangan ini juga amat bermakna buat Villa apabila mereka akhirnya berjaya menewaskan pasukan empat teratas di tempat lawan, selepas hanya meraih satu mata daripada enam kunjungan musim lalu ke kelab-kelab England yang kini beraksi dalam Liga Juara-Juara.
Pasukan bimbingan Unai Emery kini naik ke tangga ke-10 ketika mereka berusaha kembali bersaing merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




