Nampak orang hilang lima jari, pesta cahaya bertukar tragedi

Nampak orang hilang lima jari, pesta cahaya bertukar tragedi

am@hmetro.com.my

Kulim: “Deepavali kali ini sepatutnya menjadi pesta cahaya, tapi bertukar tragedi kerana bunga api,” kata Pasupathi Ratnam, 74.

Dia adalah seorang daripada 22 mangsa cedera susulan letupan yang berlaku ketika pertunjukan bunga api, sempena sambutan Deepavali di Jalan Paya Besar di sini, tengah malam tadi.

Menurutnya, dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku, terutama selepas melihat sendiri orang hilang lima jari dan suasana panik ketika kejadian.

“Saya sendiri patah tangan kanan dan luka beberapa bahagian badan,” katanya ketika ditemui di Hospital Kulim di sini, hari ini.

Pasupathi berkata, letupan berlaku kira-kira 50 meter dari tempat dia berdiri, namun impaknya tetap kuat hingga menyebabkan dia rebah.

“Bunga api itu meletup kuat secara tiba-tiba. Mungkin sudah diubah suai. Saya harap polis siasat supaya kejadian seperti ini tak berlaku lagi,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Norzaina Ismail, 46, berkata, dia berada di seberang jalan sewaktu letupan berlaku.

“Saya nampak ia menyala, kemudian tiba-tiba meletup. Masa itu saya rasa panas dan sakit macam disambar api, tetapi masih boleh berjalan lagi.

“Tidak lama kemudian tangan dan kaki terus bengkak sampai tak boleh gerak,” katanya yang dibawa ke hospital oleh anaknya selepas tidak mampu berdiri akibat kecederaan.

Gayathiri Ramara, 25, pula berkata adiknya, Durkadewi, 15, yang ketika kejadian sedang merakam video bunga api, kini sukar berjalan dan makan disebabkan luka serta kesan terbakar di seluruh tubuh.

Menurutnya, remaja itu terkena ‘simbahan’ api di tangan dan kaki yang menyebabkan mereka sekeluarga sedih dan Deepavali hari ini hanya disambut suram.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata, seorang mangsa yang parah susulan insiden itu sudah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang, manakala lima lagi yang cedera masih dirawat di zon merah Hospital Kulim.

Pihaknya juga sempat menziarahi lima mangsa yang masih dirawat di hospital berkenaan dan menyampaikan bantuan.

“Mereka di zon merah adalah kanak-kanak perempuan, seorang wanita dan tiga lelaki. Maklumat diterima, kesemuanya ada 22 mangsa, kita akan cuba jejak mangsa lain yang pulang selepas rawatan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya juga, siasatan pihak polis kini juga menumpu kepada penganjuran pertunjukan bunga api itu dan punca sebenar letupan, sama ada disebabkan kecuaian atau sabotaj.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top