SugarBun labur RM42 juta buka 42 cawangan di Semenanjung

SugarBun labur RM42 juta buka 42 cawangan di Semenanjung

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jenama restoran perkhidmatan segera ikonik dari Malaysia Timur, SugarBun Corporation Berhad (SugarBun) merancang membuka 42 cawangan baharu di Semenanjung dalam tempoh 36 bulan dengan pelaburan dianggarkan bernilai RM42 juta.

Pengarah Urusan Borneo Oil Berhad (BornOil), Datuk Joseph Ambrose Lee berkata, pengembangan itu bukan sekadar peluasan perniagaan, tetapi juga fasa penting untuk menjenamakan semula SugarBun sebagai jenama Malaysia bertaraf global.

Katanya, cawangan pertama dijangka dibuka di Cheras pada suku pertama tahun depan, menandakan langkah besar jenama itu untuk memperkukuh kedudukan nasional dan membuka laluan ke pasaran antarabangsa.

“Selama ini SugarBun dianggap jenama Sabah dan Sarawak, tetapi apabila berjaya di Semenanjung, ia akan dilihat sebagai jenama kebangsaan yang berpotensi ke peringkat antarabangsa dan ini masa terbaik untuk kami menetapkan penanda aras baharu bagi jenama tempatan.

“Langkah ini turut membuka peluang pekerjaan, memperkasa pembekal tempatan serta memberi peluang francais kepada usahawan,” katanya.

Menurutnya, SugarBun turut menandatangani perjanjian kerjasama serantau dengan Sedaplycious Sdn Bhd bagi memperkukuh kehadirannya di Semenanjung serta meluaskan potensi ke pasaran luar negara.

Beliau berkata, BornOil syarikat induk kepada SugarBun yang tersenarai di Bursa Malaysia menyifatkan dua tahun pertama pengembangan ini sebagai tempoh kritikal untuk membina asas kukuh di Semenanjung.

Sementara itu, Pengasas Sedaplycious, Sean Leong berkata, pihaknya bertanggungjawab terhadap pelaksanaan pelan pengembangan di Semenanjung dan projek itu akan dijalankan secara pembiayaan sendiri sebelum peluang francais dibuka kepada usahawan tempatan.

“Setiap cawangan dianggarkan menelan kos sekitar RM1 juta, bergantung pada lokasi.

“Kami mahu memastikan jenama ini benar-benar sebati dengan komuniti setempat dan fokus utama kami sekarang adalah di Lembah Klang, sebelum berkembang ke negeri lain,” katanya.

Menurutnya, model SugarBun Express yang lebih padat dan fleksibel akan digunakan bagi memudahkan pembukaan di pelbagai lokasi termasuk pusat beli-belah dan kawasan tumpuan utama, tanpa konsep pandu lalu buat masa ini.

“Model ini membolehkan kami membawa pengalaman makan berkualiti ke kawasan bandar dan pinggir bandar dengan pelaburan lebih rendah, sambil memperkukuh jenama melalui kehadiran yang lebih meluas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top