mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis menumpaskan dua sindiket dadah di sekitar Lembah Klang menerusi enam serbuan dengan penangkapan enam individu membabitkan rampasan RM3.85 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, bertindak atas risikan 14 hingga 17 Oktober lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melancarkan enam siri serbuan di Kuala Lumpur dan Selangor dan menahan tiga lelaki tempatan serta tiga wanita warga asing berusia33 hingga 61 tahun.
Menurutnya, serbuan pertama jam 1.10 tengah hari menahan seorang lelaki menaiki Perodua Myvi di kawasan sebuah pasar raya di Maluri, Cheras dan menemui 1,000 paket plastik disyaki serbuk methylenedeioxy methamphetamine (MDMA) seberat 18,310 gram.
“Serbuan kedua dijalankan jam 1.30 tengah haripula menahan lelaki di tepi jalan sekitar Pandan Perdana, Ampang Jaya di mana hasil tangkapan mereka Berdua membawa polis ke sebuah rumah di Pandan Perdana.
“Pemeriksaan di dalam rumah kemudian menahan wanita warga asing bersama dadah serbuk MDMA seberat 990 gram, pil erimin 5 (195 gram), ketamin (32.78 gram) dan pil ekstasi (52.81 gram),” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, serbuan ketiga dijalankan 15 Oktober lalu di sebuah rumah kondominium di Pandan Perdana, Ampang Jaya dan menahan seorang wanita warga asing bersama rampasan sebuah beg kanvas mengandungi tiga bungkusan plastik lutsinar disyaki serbuk MDMA seberat 1,295 gram.
“Dalam serbuan keempat, polis menahan seorang lagi wanita warga asing di hadapan kondominium itu bersama satu beg mengandungi enam paket plastik lutsinar disyaki dadah MDMA seberat 215 gram.
“Polis kemudian membuat pemeriksaan do dalam kondominium itu sebelum merampas 7,650 paket plastik disyaki MDMA seberat 419,795 gram, empat bekas plastik disyaki serbuk MDMA (22,160 gram) dan peralatan memproses dadah,” katanya.
Fadil berkata, dalam serbuan keenam pada 10.10 malam 17 Oktober lalu, polis menahan seorang lelaki di tempat letak kereta pasar raya di Jalan Imbi di mana pemeriksaan di dalam kereta Honda Civic menjumpai bunga ganja seberat 38,710 gram.
“Modus operandi sindiket adalah menjadikan rumah kondominium sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan serta menjadikan tempat letak kereta lokasi transaksi dadah.
“Sindiket pertama aktif sejak Februari lalu dengan mengedar dadah MDMA yang diproses dahulu sebelum diedarkan manakala sindiket kedua aktif sejak September lalu dengan mengedar bunga ganja di Lembah Klang,” katanya.
“Dua ditahan mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Katanya, suspek direman seminggu bagi membantu siasatan dan turut merampas wang tunai, gelang, subang, cincin, jam tangan dan lain-lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd


