London: Atletico Madrid berang dan mengemukakan aduan rasmi kepada UEFA terhadap Arsenal kerana hanya menyediakan pancuran mandi air sejuk untuk kegunaan kelab Sepanyol itu.
Pasukan kendalian Diego Simeone berada di London untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang Arsenal di Emirates, awal pagi esok.
Seperti kebiasaan, gergasi LaLiga itu mengadakan sesi latihan di padang Emirates pada malam sebelum perlawanan.
Namun, selepas sesi tersebut, pemain-pemain Atletico dikejutkan dengan air sejuk yang keluar dari pancuran bilik persalinan.
Menurut laporan media Sepanyol Marca, pasukan Sepanyol itu berasa marah, terkejut dan bingung bagaimana sebuah stadium moden boleh kekurangan kemudahan asas seperti air panas.
Pegawai Atletico memaklumkan kepada Arsenal pada jam 6.45 petang, sejurus selepas sesi latihan bermula, bahawa tiada air panas disediakan.
Sesi latihan Simeone dijadualkan berakhir pada jam 7.30 malam, namun pemain kembali ke bilik persalinan 15 minit lebih awal hanya untuk mendapati masalah itu masih belum diselesaikan.
Difahamkan air panas kembali pulih pada jam 7.25 malam.
Bagaimanapun, Simeone dan pemain-pemainnya yang berpeluh-peluh sudah pun membuat keputusan untuk terus menaiki bas pasukan dan mandi di hotel.
Arsenal segera memohon maaf kepada kelab Sepanyol itu, sambil menegaskan bahawa kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Apa yang ironinya, Simeone sendiri dikenali selama ini sebagai seorang yang gemar menggunakan taktik ‘kotor’ atau helah di atas padang.
Walaupun beberapa pemain Atletico dilihat marah ketika meninggalkan stadium dalam keadaan masih berpeluh dan kotor selepas latihan, kejadian itu dipercayai benar-benar berpunca daripada masalah teknikal di stadium.
Arsenal akan memasuki perlawanan ini selepas mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan pertama Liga Juara-Juara, manakala Atletico pula tewas dalam kunjungan terakhir mereka ke England bulan lalu, kalah 2-3 kepada Liverpool.
PSimeone turut dikenakan penggantungan satu perlawanan oleh UEFA selepas bertelagah dengan penyokong tuan rumah di tepi padang sebelum diarahkan keluar.
Walaupun Atletico tidak gembira dengan layanan di Emirates, pengurus Arsenal, Mikel Arteta tetap memuji Simeone dalam sidang media pra perlawanan.
Pengurus berusia 43 tahun itu berkata: “Sudah tentu (Simeone) seseorang yang saya hormati dan belajar banyak perkara daripadanya, dan bagi saya yang paling menonjol adalah semangatnya.
“Saya rasa, untuk berada dalam dunia bola sepak selama itu, di kelab yang sama, dengan ramai pemain yang sama, dan masih mampu memberi inspirasi dan tenaga untuk menang adalah sesuatu yang luar biasa.
“Ia bukan mudah dan untuk terus meyakinkan pemain-pemain, anda mesti sangat hebat dalam aspek itu.”
Arsenal akan cuba mengekalkan rekod sempurna mereka dalam Liga Juara-Juara selepas menang 2-0 ke atas Athletic Club dan Olympiacos.
Atletico pula memulakan kempen dengan kekalahan 2-3 kepada Liverpool sebelum bangkit dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Eintracht Frankfurt di Madrid.
© New Straits Times Press (M) Bhd




