1,500 pesilat cilik gegar Nilai

1,500 pesilat cilik gegar Nilai

Nilai: Kejuaraan MSO Kids’ Warrior Silat Fest 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh warna-warni selepas tiga hari penganjuran meriah di N9 Arena, Nilai, menyaksikan penyertaan seramai 1,500 pesilat cilik dan remaja berusia antara 6 hingga 16 tahun dari seluruh negara.

Dengan tema ‘Di Sini Lahirnya Pendekar & Srikandi’, kejohanan anjuran MSO Group Asia bersama Kelab Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia serta mendapat sokongan penuh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) itu berjaya menjadi platform pembangunan bakat silat muda terbesar di Malaysia.

Sepanjang tiga hari berlangsung, lebih 10,000 pengunjung hadir memeriahkan acara yang turut menampilkan pelbagai kategori pertandingan mengikut peringkat umur, daripada sekolah rendah hingga pertubuhan silat tempatan.

Setiap pemenang membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa, manakala semua peserta menerima sijil rasmi MSO Kids’ Warrior Silat Fest 2025 sebagai tanda penghargaan terhadap penyertaan mereka.

Majlis perasmian kejohanan disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Mohd Al-Hafizi Abu Bakar pada 18 Oktober lalu.

Lebih menarik, kejohanan ini turut dimeriahkan dengan pameran kraftangan, persembahan budaya tradisional, bengkel seni mempertahankan diri serta jualan makanan warisan, menjadikannya bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga karnival budaya yang memperkukuh identiti bangsa.

Menurut pihak penganjur, kejayaan penganjuran tahun ini membuktikan bahawa silat bukan sekadar sukan warisan bangsa, tetapi juga aset pelancongan dan perpaduan nasional yang mampu menarik minat pelancong tempatan serta luar negara.

“Kami berbangga melihat semangat, disiplin dan keberanian yang ditunjukkan pesilat muda. Acara ini akan diteruskan sebagai agenda tahunan yang lebih besar dengan aspirasi membawa MSO Kids’ Warrior Silat Fest ke peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada PESAKA Malaysia, agensi kerajaan, sekolah, jurulatih, ibu bapa, penaja dan semua pihak termasuk media yang menjayakan penganjuran edisi 2025 ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top