Gegaran empat bersaudara jadi realiti

Gegaran empat bersaudara jadi realiti

am@hmetro.com.my

Tanggal 18 Oktober lalu menjadi malam bersejarah apabila konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 berlangsung meriah dengan kehadiran seramai 4,500 penonton di Mega Star Arena, Plaza Sungai Wang, Kuala Lumpur.

Malam itu menjadi saksi bersatunya empat penyanyi bersaudara yang juga nama besar dalam industri seni tanah air iaitu Anuar dan Ziana Zain, Ernie Zakri dan Syamel bergabung di pentas persembahan mega buat julung kalinya.

Rata-rata peminat juga berasa puas, malah terhibur dengan persembahan mantap dan bertenaga empat penghibur dari dua generasi dalam durasi konsert selama tiga jam itu.

Dalam ucapannya, Ziana berkata, pihaknya bersyukur kerana impian untuk mereka empat bersaudara untuk mengadakan konsert itu berjaya direalisasikan.

“Walaupun kita terpaksa bergelut dengan pelbagai peristiwa membabitkan diri, anak-anak, ahli keluarga dan kawan-kawan, Allah sentiasa beri kekuatan untuk kita terus hidup dan beri peluang untuk menjayakan konsert ini.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Saya juga ada terima banyak permintaan senarai lagu dari peminat untuk dinyanyikan.

“Tapi pada malam ini, saya akan nyanyikan lagu epik dan lagu lama dari album Puncak Kasih,” katanya sambil mendapat sorakan daripada penonton dalam dewan.

Manakala, Anuar pula berkata, konsert itu berjaya direalisasikan dengan sokongan semua peminat setia mereka sejak dulu.

“Walaupun jadual kami masing-masing padat, kami tetap menunggu waktu sesuai untuk menjayakan konsert ini.

“Konsert Empat ini adalah untuk anda semua. Terima kasih atas sokongan dan sudi datang untuk menonton konsert ini,” katanya.

Konsert Empat persembahkan 21 lagu hits termasuk duet dan secara medley.

Tirai konsert dimulakan jam 8.45 malam dengan persembahan solo Ernie yang menyampaikan lagu Ku Bersuara dan disusuli dengan kemunculan suaminya, Syamel dengan menyampaikan lagu Lebih Sempurna.

Selain menyampaikan lagu hitsnya Aura dan Masing-Masing secara solo, Ernie juga berduet dengan Syamel di pentas sama.

Kemunculan Ziana di pentas menyampaikan lagu hitsnya Madah Berhelah dengan penuh bertenaga pada usia 57 tahun mendapat tepukan gemuruh penonton.

Begitu juga kemunculan Anuar dengan rangkaian lagu hits seperti Sedetik Lebih dan Lelaki Ini tidak pernah menghampakan peminatnya.

Anuar dan Ziana juga membuat persembahan duet sambil berpegangan tangan sekali gus menunjukkan keakraban hubungan penyanyi dua beradik ini terserlah di pentas.

Selain Ernie berduet dengan ibu saudaranya, Ziana, Anuar juga berduet dengan Syamel di pentas.

Ramai yang terpesona dengan paduan suara hebat Syamel dan Anuar Zain ketika berduet lagu Belakang Tabir dan Cinta Harus Memiliki kerana vokal mereka saling melengkapi untuk lagu duet berkenaan.

Sudah namanya pentas empat bersaudara, Anuar, Ziana, Ernie dan Syamel juga bergabung vokal bersama untuk menghiburkan peminat di pentas.

Antara rangkaian lagu disampaikan ialah Keabadian Cinta, Dingin, Aku Cinta, Hamba Cinta, Beribu Tanda Tanya, Waktu, Hidup Dalam Mati, Menadah Gerimis dan Kesuma Hati.

Lagu lain turut dipersembahkan ialah Gundah, Sesucinya Cintamu, Jangan Marah, Kau Pun Sama/Sangkar Cinta/Kau Bunga Cintaku/Boneka, Perpisahan, Riwayat Cinta, Anggapanmu dan Jangan Henti.

Kemuncak acara apabila pentas bertukar semakin gamat bila empat penyanyi bersaudara itu bergabung di pentas dan meminta penonton bangun dan turut menyanyi bersama.

Peminat yang membanjiri Mega Star Arena juga disediakan dengan empat skrin besar di hadapan pentas agar dapat menyaksikan persembahan empat penghibur kesayangan mereka dengan lebih jelas.

Konsert ini dianjurkan Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse yang menampilkan Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert, manakala pengarah muzik, Lee Sze Wan turut bermain keyboard.

Barisan pemuzik terbabit lain ialah Ee Jeng (keyboard kedua), Ken Chung (bass), Derrick Siow (dram), Wan Gigi (gitar), Marcus Leong (gitar), Pa’ang Zaman (percussion), Brian Larson, Ergys Koni, Toko Inomoto, Ham Kay Lyn, Amy Lim, Lee Jin-Yen (string)

Tidak ketinggalan, penyanyi latar seperti Jad Lobo, Baby Akmal dan Widy.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top