firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) membawa aura dan semangat juang tinggi dari Paroi, Negeri Sembilan ke bumi Bandung di Indonesia apabila menentang gergasi bola sepak Liga 1 negara itu, Persib Bandung dalam aksi Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Khamis ini.
Kemenangan besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi pertama suku akhir Piala FA di Paroi, Sabtu lalu nyata membangkitkan motivasi skuad Red Giants yang mahu membawa momentum sama apabila bertemu juara bertahan liga utama Indonesia itu.
Untuk rekod, pasukan Merah Kuning itu tiada pilihan lain apabila wajib memburu kemenangan ke atas Persib Bandung bagi menghidupkan semula peluang selepas tumbang dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Menurut pengendali sementara SFC, Christophe Gamel, anak buahnya akan cuba mengekalkan rentak sama ketika menentang NSFC dengan mengamalkan taktikal menyerang dalam saingan ACL II itu nanti.
“Kami menggunakan aspek menyerang dalam perlawanan (ketika menentang Negeri Sembilan FC).
“Bagaimanapun, kami tetap kena realistik dengan peluang apabila menentang mereka,” katanya.
Jelasnya lagi, perkara paling mustahak adalah barisan pemainnya mengekalkan mentaliti yang ada dalam baki kempen ACL II yang nyata mencabar.
“Tetapi kita perlu tetap fokus. Kami tahu ia akan berlaku, tetapi kami akan berusaha memburu keputusan positif.
“Dengan mentaliti (kemenangan ketika ini) yang ada kami perlu mencari keputusan positif. Semuanya berkaitan kekuatan mental,” katanya yang dilantik bagi menggantikan Katsuhito Kinoshi pada September lalu.
Ketika ini, SFC menghuni tangga tercorot Kumpulan G tanpa sebarang mata selepas tumbang dalam dua aksi terdahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




