Djokovic tarik diri Masters Paris

Djokovic tarik diri Masters Paris

Paris: Novak Djokovic mengumumkan bahawa dia tidak akan menyertai Masters Paris yang akan datang, namun berharap dapat beraksi pada edisi tahun hadapan.

Djokovic tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi sejak tewas kepada pemain ranking dunia ke-204 ketika itu, Valentin Vacherot pada separuh akhir Masters Shanghai awal Oktober lalu.

Pemain berusia 38 tahun itu dilihat bergelut dari segi fizikal sepanjang perlawanan berkenaan apabila muntah di tepi gelanggang dan beberapa kali menerima rawatan perubatan.

“Paris yang saya kasihi, malangnya saya tidak akan menyertai kejohanan tahun ini.

“Saya mempunyai kenangan luar biasa dan kejayaan besar sepanjang bertahun-tahun, terutama apabila berjaya menjuarai kejohanan ini sebanyak tujuh kali.

“Harap dapat berjumpa anda semua tahun depan,” kata pemenang 24 gelaran Grand Slam itu menerusi hantaran di media sosial.

Minggu lalu, Djokovic terpaksa menarik diri daripada perebutan tempat ketiga menentang pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz pada kejohanan Six Kings Slam di Arab Saudi.

Pemain Serbia itu juga tidak menyertai Masters Paris musim lalu selepas dia mengurangkan jumlah kejohanan yang disertainya bagi menumpukan usaha memburu gelaran Grand Slam ke-25 satu rekod baharu dalam sejarah tenis dunia.

Sementara itu, pemain nombor 10 dunia, Holger Rune turut tidak akan beraksi pada edisi tahun ini yang berlangsung dari 27 Oktober hingga 2 November selepas mengumumkan akan menjalani pembedahan pada tendon achilles.

“Pembedahan berjalan lancar. Saya akan memaklumkan perkembangan pemulihan dari semasa ke semasa. Buat masa ini, saya perlu berehat dan pulih sepenuhnya,” kata pemain dari Denmark itu menerusi Instagram, semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top