Kamal Adli gagal hadir, prosiding permohonan cerai ditangguh

Kamal Adli gagal hadir, prosiding permohonan cerai ditangguh

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Prosiding pertama permohonan perceraian pelakon Uqasha Senrose terhadap Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, yang sepatutnya berlangsung hari ini, ditangguhkan ke 28 Oktober ini.

Peguam yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf berkata, prosiding ditunda kerana ketidakhadiran Kamal selaku pihak defendan.

“Untuk sebutan kali pertama ini, Alhamdulillah anak guam saya dapat hadir seawal jam 9 pagi tadi, namun pihak defendan tidak hadir dan diwakili peguam syarie.

“Disebabkan itu, kes ini terpaksa ditangguhkan lagi dan pada 28 Oktober, mahkamah akan mendapatkan pengesahan sama ada pihak defendan setuju atau tidak dengan tuntutan Uqasha,” katanya.

Menurut Nurfarhana, anak guamnya sudah memfailkan perceraian pada 1 Oktober lalu atas sebab tiada persefahaman dalam rumah tangga mereka. Uqasha bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai punca dia memfailkan perceraian.

Pasangan Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan dikurniakan cahaya mata, Hawra Uqaira, 15 bulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top