9,000 tentera Israel alami penderitaan psikologi

9,000 tentera Israel alami penderitaan psikologi

Baitulmaqdis: Beberapa bulan selepas pulang dari barisan hadapan di Gaza, kapten tentera Israel, Israel Ben Shitrit berkata beliau masih dihantui bayangan perang yang ditinggalkannya.

“Jeritan askar yang meminta diselamatkan di mana saja saya berada, saya akan sentiasa mendengar jeritan itu,” katanya kepada AFP, menceritakan nasib seorang rakan seperjuangan yang gagal diselamatkannya.

Ben Shitrit sendiri cedera parah dalam pertempuran pada awal 2024. Pendedahannya hadir ketika Israel berdepan gelombang kes bunuh diri dalam kalangan anggota tentera yang mengalami gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD) ekoran beberapa siri konflik.

Malah, tiada peperangan sejak penubuhan negara moden Israel pada 1948 yang mengerahkan seramai ini askar atau berlangsung dalam tempoh yang lama.

Pegawai simpanan itu memaklumkan AFP, banyak pencetus boleh membangkitkan imbasan kembali yang mengganggu fikirannya sewaktu di Gaza.

“Apabila saya mendengar bunyi helikopter, ia membawa saya kembali ke Khan Yunis,” katanya, merujuk bandar di selatan Gaza yang menjadi medan pertempuran sengit.

Satu gencatan senjata rapuh yang diusahakan Amerika Syarikat telah menawarkan sinar harapan untuk menamatkan permusuhan.

Satu laporan tentera Israel dari Julai 2025 merekodkan 9,000 permohonan bagi pengiktirafan “penderitaan psikologi” yang dikemukakan kepada perkhidmatan kesihatan tentera sejak perang Gaza terkini bermula.

Konflik Gaza pada 2014, yang juga menentang Hamas tetapi berlangsung kurang dua bulan, menyaksikan pihak tentera Israel mengiktiraf 159 askar yang mengalami trauma psikologi.

Tuly Flint, seorang pekerja sosial klinikal yang pakar dalam PTSD berpunca dari pertempuran tentera berkata, kesan trauma sebegini membawa akibat yang sangat luas.

“Orang ramai bercakap soal kadar bunuh diri, tetapi itu hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar,” katanya kepada AFP di antara sesi janji temu dengan askar-askar yang pulang.

“Kita melihat keganasan, keganasan rumah tangga. Kita melihat perpecahan, pasangan berpisah.

“Kita melihat ramai orang jatuh rebah,” katanya.

Bagi Tom Wasserstein, yang organisasinya menubuhkan pusat jagaan untuk askar yang trauma, isu ini amat peribadi baginya.

Adiknya, Roi, meninggal dunia akibat bunuh diri pada usia 24 tahun pada bulan Julai, sesudah lebih 300 hari berkhidmat sebagai jururawat tentera di Gaza.

Tragedi itu menyemarakkan keazaman Wasserstein untuk membantu.

“Jika seorang askar mati akibat kecederaan dalam pertempuran, dan seorang lagi mengambil nyawanya sendiri kerana apa yang dialaminya, ini bermakna kedua-duanya telah tercedera,” kata Wasserstein.

“Seorang kerana peluru, seorang lagi dalam kepalanya – tetapi ia tetap satu kecederaan. Ia satu luka yang tidak kelihatan dan ia layak untuk dirawat,” tambahnya, sambil menjelaskan adiknya tidak pernah bercerita apa-apa berkenaan pengalamannya di medan perang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top