am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Seorang lelaki warga Iran didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri wang RM400 milik seorang lelaki tempatan pada bulan lalu.
Tertuduh, Hossein Yazdanjoo, 40, turut diperintahkan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, tertuduh didakwa mencuri wang RM400 milik seorang lelaki tempatan di hadapan sebuah rumah di kampung Cross Street, di sini, kira-kira jam 6.30 petang, pada 26 September lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut seksyen 379 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di hadapan rumahnya didatangi kereta Honda City sebelum berhenti dan pemandunya bertanya sama ada mangsa mahu menukar wang.
Namun tidak lama kemudian, tertuduh bertindak merampas wang tunai RM400 daripada mangsa sebelum melarikan diri.
Suspek kemudian berjaya dikesan oleh pihak polis selepas mangsa membuat laporan, selain rakaman kamera papan pemuka di lokasi menunjukkan kenderaan digunakan berada di tempat kejadian.
Difahamkan, tertuduh membayar denda berkenaan sebelum beredar meninggalkan pekarangan mahkamah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




