georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Arash Mohamad, 55, dan isteri Noor Afidahwati Mohammad, 45, sah sudah bercerai setahun yang lalu selepas 17 tahun mendirikan rumah tangga.
Berita perceraian itu dikongsikan Noor Afidahwati bagi menjelaskan status hubungan mereka dan mengelak kekeliruan orang ramai.
“Bismillahirahmannirrahim. Tujuan ‘posting’ ini hanyalah untuk mengelakkan fitnah dan salah faham. Setahun sudah berlalu. Kisah 17 tahun kami berakhir dengan lafaz yang sah.
“Kini kami bukan lagi suami isteri, hanya dua hati yang pernah bertemu, lalu memilih jalan masing-masing. Semoga tenang ini kekal, dan doa baik terus mengiringi setiap langkah,” katanya.
Meninjau media sosial mereka, Arash sudah lama tidak memuat naik foto isterinya itu dan kali terakhir pelakon veteran itu memuat naik gambar bersama isterinya adalah pada April 2023.
Noor Afidahwati pula kali terakhir memuat naik gambar bersama pelakon itu adalah pada 2020.
Sebelum ini, Arash pernah mengakui bahawa dia reda dengan takdir yang sudah tertulis kerana masih belum dikurniakan zuriat.
Kata Arash, dia dan isteri sentiasa positif dan menganggap belum ada rezeki untuk mereka menimang cahaya mata.
Arash mendirikan rumah tangga dengan Noor Afidahwati pada 25 Disember 2007.
© New Straits Times Press (M) Bhd




